Berita :
Ketidaktentuan Global Buka Peluang Baharu Kepada Usahawan Tempatan
Ketidaktentuan Global Buka Peluang Baharu Kepada Usahawan Tempatan
Noraini Jusoh
10 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 28 April – Ketidaktentuan global bukan lagi ancaman semata-mata sebaliknya boleh menjadi pemacu kepada transformasi ekonomi tempatan sekiranya dimanfaatkan secara strategik dan berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perubahan landskap ekonomi dunia yang dipengaruhi konflik geopolitik, ketegangan perdagangan, sekatan ekonomi serta turun naik pasaran antarabangsa menuntut pemain industri tempatan supaya lebih bersedia dan pantas menyesuaikan diri.


Katanya, situasi semasa juga dilihat sebagai peluang terbaik untuk usahawan tempatan memperkukuh kedudukan perniagaan melalui inovasi, penggunaan teknologi moden serta penerokaan pasaran baharu.

“Pengalaman negara ketika berdepan pandemik COVID-19 menunjukkan perniagaan digital menjadi antara pemacu utama yang membantu usahawan bertahan dalam situasi ketika berdepan krisis.

“Justeru, penggunaan platform digital, kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang kini menjadi antara keperluan utama bagi memastikan perniagaan terus kekal relevan serta berdaya saing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Pada Sesi Perbicangan Meja Bulat ‘Impak Pergolakan Geopolitik Kepada Peniagaan Dan Peluang Kepada Usahawan’ di Hotel Seri Malaysia, di sini,  hari ini.

Tambah beliau, usahawan tempatan juga digalakkan mempelbagaikan rantaian bekalan dan tidak terlalu bergantung kepada satu sumber atau pasaran sahaja bagi mengurangkan risiko gangguan luar.

“Pasaran serantau seperti ASEAN, Asia Barat dan Afrika dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam usaha memperluaskan jaringan perdagangan tempatan,” ujarnya.
Pada masa sama katanya, sektor ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, teknologi makanan dan industri kreatif turut menawarkan peluang pertumbuhan baharu kepada usahawan.

“Bagi memastikan agenda itu berjaya, kerajaan dan agensi berkaitan disaran terus menyediakan dasar responsif, akses pembiayaan, latihan kemahiran serta ekosistem perniagaan yang kondusif.

“Langkah tersebut penting bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kapasiti, produktiviti serta kemampuan menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan