lightning-solid
Berita :
Klinik Wildan, PKM Langkap Jalin Kerjasama Bawa Pemeriksaan Kesihatan Percuma Ke Rumah
Klinik Wildan, PKM Langkap Jalin Kerjasama Bawa Pemeriksaan Kesihatan Percuma Ke Rumah
Ariss Alias
13 jam yang lepas
119

SETIU, 8 Julai -Doktor daripada Klinik Kesihatan Wildan turun padang mencurahkan khidmat bakti dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk terpilih di Kampung Desa Jaya, hari ini. 

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Klinik Kesihatan Wildan itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, berteraskan konsep membawa perkhidmatan kesihatan terus ke hadapan pintu rumah penduduk.

ADUN Langkap, Azmi Maarof berkata, peserta yang dipilih terdiri sama ada daripada golongan warga emas yang uzur, sakit terlantar, miskin atau mereka yang tiada kenderaan untuk ke klinik. 

"Ia bukan sahaja memudahkan penduduk yang terpilih menerima rawatan serta menjalani pemeriksaan kesihatan, malah menjimatkan masa dan kos kerana mereka tidak perlu keluar mendapatkan perkhidmatan di klinik," katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.


Sementara itu, Dr. Ahmad Mujahid Sabri berkata, perkhidmatan yang disediakan merangkumi pemeriksaan kesihatan menyeluruh termasuk ujian paras glukosa darah, tekanan darah selain memberi peluang kepada penduduk mendapatkan khidmat nasihat kesihatan secara percuma. 

"Program seperti ini bukan sahaja membantu pengesanan awal penyakit yang mungkin dihadapi oleh penduduk, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala. Pada masa yang sama, ia turut memperkenalkan jenama Klinik Wildan kepada masyarakat setempat," katanya. 

Beliau berkata, program seumpama itu sebelum ini turut diadakan di Kampung Alor Lek, Kampung Bukit dan Kampung Tayor Tengah, sekali gus membuktikan terdapat permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan bergerak seperti ini khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, Klinik Wildan komited untuk meneruskan inisiatif CSR berkenaan sebagai usaha mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, terutama golongan yang memerlukan dan berdepan kekangan untuk mendapatkan rawatan.


Tag :

Artikel Berkaitan