KUALA TERENGGANU, 12 November – Identiti Terengganu sebagai sebuah Kerajaan Islamiah Melayuwiyah bukan sekadar konsep atau gagasan baharu, sebaliknya mempunyai asas sejarah dan perundangan yang telah direkodkan sejak lebih satu abad lalu.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, frasa Islamiah Melayuwiyah tercatat dalam Fasal 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu, Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil Al-Suluk yang ditandatangani pada 2 November 1911.
“Gelaran Kerajaan Terengganu Islamiah Melayuwiyah juga pernah tertera pada setem negeri yang dikeluarkan pada tahun 1910.
“Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa konsep tersebut telah lama menjadi sebahagian daripada tradisi dan jati diri Terengganu,” jelasnya.

Tambahnya, Sejarah bukan sekadar catatan tentang masa lalu. Sejarah membantu kita memahami asal usul, membina jati diri dan mengambil iktibar daripada pengalaman generasi terdahulu
“Di Terengganu, perkembangan Islam telah membentuk kehidupan masyarakat, pemerintahan, pendidikan, perundangan, kesenian dan kebudayaan.
“Nilai Islam dan adat Melayu yang baik terus menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat negeri ini,” ujarnya.
Katanya, antara bukti penting yang diketengahkan dalam pameran itu ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 Masihi yang memperlihatkan perkembangan awal Islam, penggunaan tulisan Jawi serta kewujudan unsur perundangan Islam di rantau ini.

“Sumbangan mereka dalam pendidikan, dakwah dan perkembangan ilmu wajar terus dikenali, khususnya oleh generasi muda,” tambahnya lagi.
Selain itu, pengunjung berpeluang melihat manuskrip dan Mushaf al-Quran tulisan tangan yang menggambarkan tradisi keilmuan serta kehalusan seni khat masyarakat terdahulu.
“Bahan-bahan ini mengingatkan kita bahawa warisan bukan sahaja mempunyai nilai sejarah, malah menyimpan ilmu dan pemikiran yang boleh dipelajari oleh masyarakat hari ini,” tegasnya.
Menurut beliau, pameran yang dibuka kepada orang ramai sehingga Disember 2027 itu turut disertai pelbagai aktiviti termasuk bengkel dan pertandingan penulisan khat, bengkel berkaitan al-Quran serta program pendidikan.
Beliau menggalakkan rakyat Terengganu, khususnya pelajar, pendidik dan institusi pendidikan, mengambil peluang mengunjungi pameran tersebut bagi mengenali sejarah serta warisan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata galeri merekodkan seramai 415,659 pengunjung sepanjang 2025, manakala 365,466 pengunjung dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026.
Katanya, usaha memperkaya pameran dan kemudahan muzium penting bagi meningkatkan pengalaman pengunjung serta menjadikan warisan sejarah sebagai tarikan pelancongan negeri.
Penganjuran itu juga selari dengan Tahun Melawat Terengganu 2027 yang membawa tema 'Visit Truly Terengganu 2027', selain Terengganu bakal menjadi tuan rumah Festival Hari Muzium Antarabangsa peringkat kebangsaan pada tahun sama.
“Kerajaan Negeri menyokong usaha ini agar muzium menjadi tarikan pelancongan warisan, menarik pengunjung serta menyumbang kepada ekonomi negeri,” tambahnya.