Berita :
Laut Bukan Tong Sampah, Pantai Bukan Tempat Buang Sisa - Dr Sam
Laut Bukan Tong Sampah, Pantai Bukan Tempat Buang Sisa - Dr Sam
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
100

KUALA TERENGGANU, 9 April – Orang ramai diingatkan supaya terus menjaga kebersihan pantai dan laut, khususnya ketika musim mencandat sotong yang kini kembali meriah di negeri ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pantai merupakan anugerah alam yang bukan sahaja indah dipandang, malah menjadi sumber rezeki kepada masyarakat serta lokasi untuk orang ramai beriadah dan melepaskan penat.

Menurut beliau, keindahan dan manfaat itu bagaimanapun tidak akan kekal sekiranya masyarakat sendiri gagal memelihara kebersihannya.

“Tambahan pula, Terengganu dikenali sebagai negeri paling bahagia. Rugi sekiranya suasana itu dicemari dengan sikap tidak ambil peduli terhadap soal kebersihan,” katanya dalam satu hantaran  di laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata, kemeriahan musim mencandat sotong yang menghimpunkan ramai pengunjung dan nelayan ke laut untuk mencari rezeki serta berhibur bersama rakan-rakan tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan tanggungjawab menjaga alam sekitar.

Katanya, orang ramai perlu memastikan sampah seperti plastik, botol dan bekas makanan tidak ditinggalkan sewenang-wenangnya di kawasan pantai atau laut.

“Laut bukan tong sampah dan pantai juga bukan tempat membuang sisa,” ujarnya.

Beliau menegaskan, sekiranya kebersihan terus dipelihara, keindahan pantai dapat dinikmati oleh semua untuk tempoh yang panjang.

“Kalau kita jaga, semua orang boleh terus nikmati keindahan ini. Tetapi kalau kita sendiri tidak kisah, lama-kelamaan ia juga akan rosak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan pantai dan persekitaran demi kelestarian negeri.

“Benda kecil, tetapi besar maknanya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa prihatin dan sayangkan negeri kita,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan