HULU TERENGGANU, 17 Ogos - Semangat patriotik terus disemarakkan apabila Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir mengadakan agihan lebih 500 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya di hadapan pejabat berkenaan, sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Program berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang selain menyemarakkan rasa cinta dan bangga terhadap negara dalam kalangan rakyat, khususnya penduduk di kawasan berkenaan.
ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, pengibaran Jalur Gemilang merupakan simbol kecintaan rakyat terhadap tanah air dan semangat kebersamaan dalam meraikan bulan kemerdekaan.
“Kita mahu semangat Merdeka ini dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Walaupun hanya sehelai bendera, ia membawa makna besar sebagai tanda kecintaan kita kepada Malaysia serta menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi hari ini,” katanya.

Program agihan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna jalan raya yang menerima Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan terhadap usaha menyemarakkan semangat patriotic cintakan negara.