Jalur Gemilang
Berita :
M40 Bukan Semuanya Senang, Indeks Beban Isi Rumah Dicadang
M40 Bukan Semuanya Senang, Indeks Beban Isi Rumah Dicadang
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
1 hari yang lepas
13

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Kerajaan dicadangkan membangunkan Indeks Beban Isi Rumah (IBIR) bagi menilai keadaan kewangan sebenar golongan berpendapatan pertengahan (M40), termasuk keluarga yang berdepan tekanan kewangan meskipun pendapatan kasar mereka melepasi syarat bantuan sedia ada.

Cadangan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, penilaian berdasarkan pendapatan kasar semata-mata tidak mencukupi untuk menggambarkan kemampuan sebenar sesebuah isi rumah, terutama selepas mengambil kira komitmen dan perbelanjaan asas bulanan.

“M40 bukan semuanya senang,” katanya ketika menjelaskan keperluan pendekatan yang lebih adil dalam menentukan kelayakan bantuan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, IBIR yang dicadangkan itu perlu mengambil kira beberapa faktor, antaranya bilangan anak dan tanggungan, kos penjagaan anak, perbelanjaan pendidikan dan kesihatan, kos perumahan, lokasi kediaman serta pendapatan bersih selepas potongan wajib.

Katanya, penilaian tersebut juga boleh membantu mengenal pasti kategori M40 rentan, iaitu keluarga yang tidak memenuhi syarat bantuan tertentu tetapi masih mempunyai pendapatan boleh guna yang rendah selepas menanggung komitmen asas.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan bantuan bersasar seperti subsidi penjagaan anak, perlindungan kesihatan asas dan kredit pengangkutan ke tempat kerja diperkenalkan bagi mengurangkan beban kewangan bulanan golongan berkenaan.

“Jangan sekadar kajian, jadikan ia asas kepada dasar,” katanya sambil meminta Menteri Kewangan menjelaskan tempoh pelaksanaan, kaedah pengiraan dan agensi yang akan bertanggungjawab terhadap mekanisme berkenaan.

Dalam perbahasan sama, beliau turut mencadangkan supaya pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinilai semula agar bantuan lebih tertumpu kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau turut membangkitkan keberkesanan kelayakan subsidi petrol BUDI95, termasuk cadangan supaya penjimatan yang dapat dikenal pasti disalurkan kepada golongan M40 rentan.

Menurutnya, pendekatan bantuan yang lebih bersasar penting bagi memastikan peruntukan kerajaan dapat membantu keluarga yang benar-benar terbeban dengan kos sara hidup.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan