lightning-solid
Berita :
‘Masalahnya, Gajah Tak Baca Signage’ – Ahmad Samsuri
‘Masalahnya, Gajah Tak Baca Signage’ – Ahmad Samsuri
Mohd Irsyadi Abu Bakar
9 jam yang lepas
232

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – “Masalahnya, gajah tidak baca signage itu,” seloroh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya mengenai cadangan menambah papan tanda amaran kawasan hidupan liar di lebuh raya.

Menurut beliau, pemasangan papan tanda amaran sememangnya antara langkah yang dilaksanakan dalam menangani risiko kemalangan membabitkan hidupan liar, sebagaimana turut dilakukan di negara-negara maju.

Bagaimanapun katanya, situasi di lebuh raya terutama pada waktu malam menyebabkan pemandu kadangkala sukar mengesan kehadiran haiwan lebih awal.

“Apabila orang memandu di lebuh raya tengah malam dalam keadaan mungkin laju dan sebagainya, kadang-kadang tak sedar.

“Tengok pula haiwan seperti lembu dan kerbau, warnanya hampir sama dengan jalan. Gajah pun sama. Jadi memang ada kesukaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, pada Isnin.

Ahmad Samsuri berkata, pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak berkaitan termasuk kementerian, jabatan serta pihak berkuasa lebuh raya bagi mengurangkan risiko pertembungan antara pengguna jalan raya dan hidupan liar.

Mengulas kejadian melibatkan gajah di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) baru-baru ini, beliau menyifatkannya sebagai satu tragedi dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang terlibat.

“Memang apa yang berlaku baru-baru ini di LPT merupakan suatu tragedi dan kita mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

“Saya percaya pihak jabatan yang terlibat telah mengambil langkah-langkah seterusnya untuk menghalang haiwan-haiwan ini,” katanya.

Menurut beliau, kejadian haiwan memasuki jalan raya bukan perkara baharu apabila sebelum ini turut berlaku kes lembu berada di atas jalan sehingga menyebabkan kemalangan.

“Satu masa dahulu kita berdepan dengan masalah lembu yang naik ke atas jalan raya sehingga menyebabkan beberapa kemalangan.

“Pertama kali kita dengar yang berlaku kepada gajah ini. Saya rasa perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya.

Tambah beliau, usaha menangani konflik antara manusia dan hidupan liar perlu melibatkan semua pihak termasuk pengurusan lebuh raya, selain meningkatkan pemantauan serta rondaan terutama pada musim hujan.

Katanya, pendekatan melibatkan renjer dan sukarelawan kampung sebelum ini berjaya membantu mengurangkan masalah gajah memasuki kawasan penempatan di Hulu Terengganu.

“Dahulu kita ada isu gajah masuk ke kampung di Hulu Terengganu. Dengan menggunakan renjer dan juga orang kampung yang menjadi sukarelawan, kita dapat mengurangkan perkara berkenaan.

“Mungkin penggunaan teknologi baharu harus dipertimbangkan supaya kita dapat mengesan pergerakan itu lebih awal,” katanya.

Mengulas cadangan pemasangan pagar elektrik, Ahmad Samsuri berkata perkara itu boleh dipertimbangkan pihak berwajib, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira jarak lebuh raya yang panjang serta kesukaran menyediakan sumber elektrik di kawasan yang luas.


Tag :

Artikel Berkaitan