Jalur Gemilang
Berita :
MBKT Seimbang Pembangunan Moden, Warisan Dan Bandar Tahan Banjir
MBKT Seimbang Pembangunan Moden, Warisan Dan Bandar Tahan Banjir
Rohayati Ripin
10 Nov 26
5

KUALA TERENGGANU, 10 November – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mahu pembangunan bandar raya itu bergerak seiring dengan usaha memelihara warisan negeri, selain memperkukuh daya tahan terhadap banjir dan perubahan iklim.

Dato’ Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, pendekatan itu selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang memberi penekanan terhadap pembangunan bandar mampan dan berdaya saing.

Menurutnya, usaha mengekalkan identiti Terengganu akan dilaksanakan melalui pewartaan dan pemeliharaan zon warisan utama termasuk Pasar Payang, Kampung Cina dan Bukit Puteri.

"Meskipun Kuala Terengganu sedang berkembang menjadi bandar raya yang moden dan berdaya saing, MBKT tetap memberi penekanan utama terhadap pengekalan identiti dan warisan negeri Terengganu.

"Elemen seni bina tradisional Terengganu juga wajib diterapkan dalam garis panduan kelulusan reka bentuk bangunan baharu," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan Bandar Pintar (Terengganu Smart City) turut dirancang dengan mengintegrasikan elemen budaya tempatan dan kraf tradisional dalam kawasan komersial moden.

Dalam aspek daya tahan terhadap bencana pula, Lizan berkata, MBKT memberi tumpuan kepada empat pendekatan utama bagi memastikan pembangunan bandar lebih bersedia menghadapi risiko banjir, khususnya ketika musim monsun.

Katanya, pendekatan pertama melibatkan kawalan guna tanah yang lebih ketat di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), rizab sungai dan kawasan tadahan air bagi mengelakkan pembangunan tidak terkawal di kawasan berisiko tinggi.

"Pendekatan infrastruktur hijau-biru atau konsep Sponge City turut diberi perhatian melalui integrasi kolam takungan dan sistem perparitan mesra alam bagi menyerap serta memperlahankan limpahan air hujan ketika musim monsun," katanya.

Beliau berkata, pendekatan ketiga pula memberi tumpuan kepada pertahanan kawasan pesisir pantai melalui pembinaan benteng mesra alam dan penyediaan zon penampan semula jadi.

Langkah itu penting bagi menghadapi ancaman kenaikan aras laut serta ombak besar ketika musim monsun.

Sementara itu, pendekatan keempat melibatkan perancangan infrastruktur dan kemudahan awam kalis bencana, termasuk penyediaan zon pemindahan bertingkat tinggi serta laluan perhubungan kritikal yang tahan banjir.

Menurut Lizan, kemudahan berkenaan penting bagi memastikan sistem perhubungan dan operasi logistik dapat diteruskan ketika bencana berlaku.

Beliau berkata, keseluruhan pendekatan itu merupakan sebahagian daripada usaha menterjemahkan RFN5 dan DPN3 kepada pembangunan Kuala Terengganu yang lebih mampan, berdaya tahan dan pada masa sama tidak mengabaikan identiti warisan negeri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan