Jalur Gemilang
Berita :
Mekanisme Pemantauan Warga Emas Uzur Sedang Diteliti
Mekanisme Pemantauan Warga Emas Uzur Sedang Diteliti
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
80

KUALA TERENGGANU, 19 November – Mekanisme pemantauan khusus bagi memastikan warga emas uzur tidak diabaikan oleh ahli keluarga masih belum diwujudkan, namun perkara itu bakal diberi perhatian menerusi penyediaan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam proses menyediakan RUU berkenaan yang akan memasukkan elemen pemantauan dengan penglibatan pelbagai pihak.

"Kerajaan negeri ketika ini melaksanakan beberapa pendekatan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan warga emas dan golongan terlantar terus terbela," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Batu Rakit, Mohd Safizi Ismail  berhubung usaha kerajaan negeri memastikan ibu bapa dan warga emas uzur tidak diabaikan oleh ahli keluarga pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan).

Antara usaha dilaksanakan ialah Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar sebanyak RM500 sebulan kepada penjaga yang layak.

"Sehingga September 2026, seramai 2,239 penerima mendapat manfaat bantuan berkenaan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM1,134,700," ujarnya.

Bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan penjaga selain menggalakkan anak-anak dan waris terus menjaga ibu bapa di rumah supaya mereka dapat menjalani kehidupan dalam suasana kekeluargaan.

Dalam pada itu, kerajaan turut melaksanakan Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) atau Home Help Services melalui kerjasama JKM dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

Program berkenaan menyediakan bantuan penjagaan asas, urusan kesihatan, sokongan emosi serta bantuan keperluan harian kepada warga emas dan OKU yang memerlukan.

Setakat ini, seramai 644 warga emas menerima manfaat daripada perkhidmatan tersebut yang digerakkan oleh 161 sukarelawan.

Menerusi pendekatan itu, warga emas berpeluang terus tinggal di kediaman masing-masing dengan sokongan sukarelawan dan komuniti setempat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan