Berita :
Nafuzi Kembali Terajui Terengganu FC
Nafuzi Kembali Terajui Terengganu FC
Mohd Irsyadi Abu Bakar
14 jam yang lepas
110

KUALA TERENGGANU, 30 Jun - Terengganu FC mengumumkan pelantikan semula bekas pengendali pasukan itu, Nafuzi Zain, 47, sebagai ketua jurulatih bagi saingan Liga Malaysia musim 2026/2027.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan bawah 23 tahun itu menandatangani kontrak selama dua musim yang menyaksikannya akan membimbing skuad Sang Penyu bagi musim 2026/2027 dan 2027/2028.

Menurut Terengganu FC, pelantikan itu menandakan kembalinya seorang jurulatih yang pernah membangkitkan keghairahan dan gema penyokong Sang Penyu.

"Nafuzi pernah membimbing pasukan dari tahun 2019 hingga 2022 dan berjaya membawa Terengganu FC muncul antara pencabar utama Liga Super, termasuk menamatkan saingan liga di kedudukan ketiga pada musim 2020 serta muncul naib juara Liga Super serta Piala FA pada musim 2022.

"Kepulangan beliau tepat pada masanya ketika Terengganu FC sedang melalui fasa pembinaan semula pasukan dengan hala tuju yang lebih berfokus dan berdaya saing. 

"Pengurusan kelab percaya pengalaman dan pemahaman terhadap budaya pasukan serta hubungan erat dengan penyokong akan menjadi aset penting dalam usaha mengembalikan Terengganu FC ke landasan yang diharapkan," jelas kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, dikhabarkan Nafuzi telah mula mengenal pasti beberapa pemain asing dan tempatan serta barisan kejurulatihan dalam perancangannya melalui Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan Terengganu FC sebagai pihak yang diberi tanggungjawab oleh kelab dalam membentuk skuad yang mampu memenuhi kehendak taktikal beliau.

Pelantikan Nafuzi juga mencerminkan komitmen kelab untuk membina sebuah pasukan yang kompetitif, beridentiti jelas dan mampu bersaing secara konsisten dalam semua pertandingan yang disertai. 

Menerusi pengalaman luas beliau dalam bola sepak tempatan serta rekod cemerlang bersama Terengganu FC sebelum ini, kelab yakin beliau merupakan individu paling sesuai untuk memimpin projek baharu Terengganu FC bagi dua musim akan datang.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan