KUALA NERUS, 23 November – Penduduk di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit diminta sentiasa berwaspada dan membuat persiapan awal bagi menghadapi musim tengkujuh, khususnya berikutan risiko hujan berterusan dan kejadian banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penduduk perlu sentiasa mengikuti perkembangan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin.
Menurutnya, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Rakit bersama Jabatan Amal Batu Rakit akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta komuniti setempat bagi menyelaras keperluan dan bantuan sekiranya berlaku sebarang bencana.
"Persediaan menghadapi kemungkinan banjir turut diberi perhatian, termasuk kesiapsiagaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Maras, Dewan Serbaguna Wakaf Catur dan Masjid Kampung Pulau Redang yang telah dikenal pasti sebagai lokasi pemindahan sekiranya diperlukan.
"Ketika hujan berterusan, saya menasihatkan penduduk supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bermain berhampiran sungai, parit atau kawasan berisiko, terutama ketika banjir berlaku," katanya.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar tidak mengambil mudah sebarang amaran cuaca dan arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
"Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada sebarang musibah serta mempermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi musim tengkujuh ini," katanya.