HULU TERENGGANU, 16 Ogos – Air sungai yang surut akibat pemberhentian sementara operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kerja-kerja pembersihan dimanfaatkan penduduk Kampung Dusun untuk menghidupkan kembali aktiviti tradisional ‘ngambak ikan’.
Keadaan air yang cetek memberi peluang kepada penduduk setempat turun ke kawasan sungai bagi mencari dan menangkap ikan, sekali gus menikmati hasil sungai yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kampung sejak dahulu.
Aktiviti berkenaan bukan sahaja mengisi masa lapang penduduk, malah menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti menerusi aktiviti tradisional yang dilakukan secara bersama.
Bagi penduduk Kampung Dusun, fenomena air surut yang berlaku untuk tempoh tertentu itu ibarat peluang yang jarang diperoleh untuk kembali merasai suasana ‘ngambak ikan’ yang semakin jarang dilakukan.
Pemberhentian sementara operasi TNB bagi tujuan pembersihan menyebabkan paras air sungai menurun sebelum kembali ke keadaan biasa selepas operasi disambung semula.
Situasi berkenaan turut memperlihatkan bagaimana masyarakat setempat bijak memanfaatkan keadaan alam sekitar, selain mengekalkan warisan aktiviti tradisional yang menjadi sebahagian daripada identiti komuniti di kawasan berkenaan.