Jalur Gemilang
Berita :
Peralihan Monsun Bermula 9 Oktober, Orang Ramai Diminta Berwaspada
Peralihan Monsun Bermula 9 Oktober, Orang Ramai Diminta Berwaspada
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
114

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Fasa peralihan monsun dijangka bermula 9 Oktober ini dan berterusan sehingga penghujung Oktober 2026.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr. Mohd Hisham dalam satu kenyataan media berkata, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei 2026.

"Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

"Keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat dan kilat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, 

"- terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, fenomena cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan beberapa kejadian berkaitan cuaca ekstrem.

"Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh," jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan sepanjang tempoh peralihan monsun berkenaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan sentiasa peka terhadap ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Dalam pada itu, MET Malaysia juga menjangkakan pengakhiran musim Monsun Barat Daya akan memberi perubahan terhadap keadaan jerebu rentas sempadan.

"Dengan berakhirnya musim Monsun Barat Daya ini, kesan jerebu rentas sempadan daripada negara jiran dijangka akan beransur-ansur berkurangan berikutan berlaku perubahan arah pergerakan angin," ujar kenyataan itu.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan