Berita :
Perkukuh Peranan Masjid Sebagai Pusat Komuniti
Perkukuh Peranan Masjid Sebagai Pusat Komuniti
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Kerajaan negeri terus komited memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan salah satunya menerusi perasmian bangunan baharu Pusat Kebajikan Masjid Jamek Pengadang Baru, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kejayaan menyiapkan projek pembinaan bangunan baharu tersebut disifatkan sebagai satu mercu tanda kemajuan kariah serta simbol penyatuan dan kebersamaan masyarakat Islam di negeri ini.

"Sebagai sebuah mercu tanda baharu, pusat kebajikan masjid berkenaan bakal memperkukuhkan lagi peranan masjid sebagai pusat ibadah, kebajikan dan khidmat kepada masyarakat. 

“Bangunan ini dilengkapi dengan Pejabat Pentadbiran, Pusat Khidmat Pengurusan Jenazah, serta pelbagai kemudahan lain.

“Ia diwujudkan bagi memudahkan urusan masyarakat setempat selain menjadi lambang kesungguhan institusi masjid dalam menyantuni ummah dari pelbagai aspek kehidupan,” ujar Maliaman dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa masjid, para penyumbang, pewakaf serta semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan pembinaan pusat kebajikan tersebut.

“Tahniah dan syabas kepada semua, semoga segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan menjadi amal jariah yang berpanjangan serta diberkati Allah SWT.

“Mudah-mudahan Pusat Kebajikan Masjid Jamek Pengadang Baru terus menjadi pusat khidmat yang memberi manfaat, mengeratkan ukhuwah dan memperkukuhkan semangat kebajikan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan