lightning-solid
Berita :
Piala ADUN Telemong 2026 Rapatkan Hubungan Komuniti, KDKP FC Dinobat Juara
Piala ADUN Telemong 2026 Rapatkan Hubungan Komuniti, KDKP FC Dinobat Juara
Muhammad Afiq Syahmie Bin Mohd Riduan
4 jam yang lepas
40

HULU TERENGGANU, 11 Ogos 2026 – Kejohanan Piala ADUN Telemong 2026 yang berlangsung selama sebulan berjaya merapatkan hubungan antara masyarakat menerusi penglibatan anak muda dalam aktiviti sukan dan pertandingan bola sepak antara kampung.

Kejohanan yang bermula 10 Julai lalu dan berakhir pada 11 Ogos itu melibatkan empat venue mengikut mukim, iaitu Padang Kuala Telemong bagi Mukim Kuala Telemong, Padang Kuala Menjing bagi Mukim Tersat, Padang Kuala Pueh bagi Mukim Jenagor dan Padang Kuala Ping bagi Mukim Hulu Telemong.

Pasukan KDKP FC yang mewakili gabungan Kuala Dura dan Kuala Pueh muncul juara selepas melalui saingan kejohanan tersebut, sekali gus melayakkan diri bersama tiga lagi pasukan ke peringkat Parlimen.

Tiga pasukan lain yang akan mewakili DUN Telemong ke peringkat Parlimen sebagai empat pasukan terbaik ialah Chapu FC, Tok Lawit FC dan Nibong FC.

ADUN Telemong, Mohd Zawawi  Ismail berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada golongan muda untuk beriadah, malah menjadi platform masyarakat setempat berinteraksi dan bertukar pandangan.

“Walaupun kejohanan telah berakhir, masyarakat masih mengharapkan supaya pertandingan seperti ini diteruskan. Ini menunjukkan program sebegini mendapat sambutan dan memberi ruang kepada masyarakat untuk berhubung rapat serta bersama-sama,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut merancang penganjuran aktiviti sukan dan pertandingan antara kampung pada masa akan datang sebagai usaha memperluas penglibatan masyarakat, khususnya golongan muda.

Mohd Zawawi berkata, pendekatan berkenaan akan terus diperkasakan melalui pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti bersama bagi memastikan hubungan antara penduduk di DUN Telemong sentiasa erat.

Penganjuran Piala ADUN Telemong 2026 sekali gus memperlihatkan sukan sebagai salah satu medium berkesan dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan hubungan komuniti di peringkat akar umbi.



Tag :

Artikel Berkaitan