lightning-solid
Berita :
Skuasy Sasar Gangsa di SUKMA Selangor
Skuasy Sasar Gangsa di SUKMA Selangor
Ridhwan Balian
1 jam yang lepas
36

KEMAMAN, 14 Ogos – Pasukan skuasy Terengganu meletakkan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat gangsa pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang bakal berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos 2026.

Bagi menyuntik semangat atlet sebelum berlepas ke temasya berprestij itu, satu Majlis Ramah Mesra dan Pelepasan Atlet Skuasy telah diadakan dalam suasana penuh mesra dan harmoni melibatkan atlet, jurulatih serta pihak berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, beliau diberi amanah sebagai Bapa Angkat kepada kontinjen skuasy Terengganu pada edisi SUKMA kali ini.

“Alhamdulillah, tahun ini saya diamanahkan sebagai Bapa Angkat bagi atlet sukan skuasy. 

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak atlet yang akan membawa nama Terengganu di pentas SUKMA,” katanya.

Sebagai tanda sokongan kepada pasukan tersebut, beliau turut meluluskan tajaan raket, pakaian sukan serta insentif khas kepada pasukan bagi membantu persiapan pasukan menghadapi kejohanan. 

Selain itu katanya, Jabatan Angkat dari Pejabat Daerah Kemaman turut menyalurkan insentif khas kepada pasukan sebagai dorongan tambahan menjelang saingan.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat memberi motivasi tambahan kepada atlet agar tampil lebih yakin dan bersemangat sepanjang saingan berlangsung.

“Harapan kami, semoga semua atlet sentiasa berada dalam keadaan sihat, bersedia dan bersemangat untuk bertanding. 

"Berjuanglah sehabis baik demi negeri Terengganu dan mudah-mudahan ada pingat kejayaan yang dapat dibawa pulang,” ujar beliau..

Sementara itu, skuad skuasy Terengganu turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain muda berbakat besar, Danish Zikry Shaiful Bakhtiar, yang merupakan Juara Kategori Bawah 15 Tahun Lelaki Kejohanan China Squash Junior Open 2026 di Shandong, China. 

Kehadiran beliau dijangka memberi nilai tambah kepada pasukan dalam misi memburu pingat di SUKMA kali ini.



Tag :

Artikel Berkaitan