KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Polis Terengganu melancarkan Operasi PATI Khas di kawasan Bakau Tinggi, Kemaman awal pagi tadi dalam usaha mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU), baru-baru ini.
Operasi dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, operasi bermula jam 12.01 tengah malam hingga 6 pagi bagi mengesan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu, selain menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing di kawasan berkenaan.
“Dalam operasi itu, seramai 33 individu diperiksa membabitkan enam warga tempatan dan 27 warga asing terdiri daripada enam lelaki, lima wanita serta 16 kanak-kanak.
“Hasil pemeriksaan, dua lelaki warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Khairi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Terengganu bersama Pengarah JIM Terengganu turut hadir memantau operasi berkenaan.
Katanya, PDRM dan JIM akan meneruskan pemantauan serta tindakan undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam, selain mengesan individu yang diperlukan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam masa sama, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Orang ramai diminta menyerahkan sepenuhnya urusan siasatan kepada pihak berkuasa dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan suspek kepada balai polis berdekatan, Bilik Gerakan Daerah (DCC) atau melalui aplikasi Volunteer Smart Phone (VSP).
“PDRM turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan spekulasi, maklumat tidak sahih atau kenyataan berunsur provokasi di media sosial yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.