MARANG, 5 Oktober – Rantau Abang berpotensi kembali bangkit sebagai destinasi penyu bertaraf dunia sekiranya kebersihan pantai dan kelestarian habitat semula jadi reptilia marin itu terus dipelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, usaha itu memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, perlindungan habitat serta kawalan terhadap aktiviti yang boleh mengganggu penyu perlu diberi perhatian bagi memastikan haiwan berkenaan terus mendarat dan bertelur di pantai Terengganu.
“Kalau kita nak penyu ini mari lagi di Terengganu, kalau kita nak tengok Rantau Abang ini bangkit balik sebagai destinasi penyu seluruh dunia, maka kita kena berhati-hati.
“Berhati-hati untuk memastikan penyu naik dan turun, dan habitat dia kita tidak ganggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Terengganu dan Pekan Budaya Daerah Marang 2026 di sini pada 4 Oktober.

Sehubungan itu, katanya, kempen kesedaran dalam kalangan penduduk di kawasan pantai perlu diteruskan bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan sesuai untuk penyu mendarat.
Dalam masa sama, kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta NGO berkaitan bagi menangani ancaman terhadap haiwan tersebut, termasuk risiko terperangkap dalam pukat yang dipasang berhampiran pantai.
“Kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar dan NGO-NGO yang menjaga kelestarian pantai supaya menjaga kebersihan pantai dan menjaga macam mana kita nak halang pukat-pukat yang bermukat di tepi pantai, yang kena kadang-kadang ibu-ibu penyu,” ujarnya.
Menurut beliau, pemuliharaan alam sekitar turut mempunyai kaitan langsung dengan masa depan sektor pelancongan negeri.
Katanya, keindahan alam semula jadi merupakan antara aset utama Terengganu yang perlu dipelihara supaya terus menjadi tarikan pelancong.
“Alam sekitar, aset pelancongan merupakan satu warisan yang amat penting kepada negeri kita,” katanya.
Tambah beliau, habitat penyu yang terpelihara bukan sahaja dapat mengekalkan nilai ekologi Rantau Abang, malah berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Razali turut menegaskan bahawa aspek kebersihan perlu diberi perhatian oleh semua pihak, termasuk pengusaha kedai dan penjaja, kerana ia mempengaruhi kesediaan pengunjung untuk kembali.
“Kalau kotor, tak ada orang mari. Kalau kedai kotor, tak ada orang mari. Kalau apron kotor, tak ada orang nak mari. Kalau pakaian kotor kepada penjaja, orang pun beli sekali lepas tu orang tak beli dah,” katanya.
Justeru, beliau menyeru masyarakat supaya bersama-sama menjaga kebersihan pantai serta tidak mengganggu penyu yang naik ke daratan untuk bertelur.
Katanya, tanggungjawab memelihara alam sekitar perlu dipikul bersama bagi memastikan khazanah dan identiti Terengganu itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang.