Berita :
RGT Kemaman Dijangka Siap 2029, Jadi hab LNG Pantai Timur
RGT Kemaman Dijangka Siap 2029, Jadi hab LNG Pantai Timur
Rohayati Ripin
16 jam yang lepas
301

KUALA TERENGGANU, 28 April – Projek Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (RGT) Kemaman dijangka siap dan mula beroperasi pada suku keempat tahun 2029 sekali gus berpotensi menjadi pemangkin baharu ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek berkenaan kini berada pada landasan tepat selepas permohonan dikemukakan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) pada Disember tahun lalu dan sedang menunggu kelulusan Letter to Proceed (LTP) yang disasarkan pada suku kedua 2026.

Menurutnya, RGT Kemaman yang dibangunkan di kawasan perindustrian Teluk Kalong merupakan projek terminal LNG pertama di Malaysia yang beroperasi di luar penguasaan Petronas menerusi rangka kerja Third Party Access (TPA).

“Ini satu pencapaian penting kerana kita membuka ruang kepada penyertaan syarikat swasta dalam industri LNG yang sebelum ini dimonopoli.

“Dengan kapasiti pengeluaran sekitar 3.6 juta tan metrik setahun, projek ini bukan sahaja mampu memenuhi keperluan domestik Terengganu, malah berpotensi membekalkan LNG ke negeri-negeri jiran seperti Kelantan dan Pahang,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, bekalan utama LNG bagi projek itu akan diperoleh dari Amigo LNG di Mexico melalui Pelabuhan Guaymas, sekali gus tidak terkesan secara langsung dengan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah.

Namun begitu, beliau tidak menafikan projek berkenaan berdepan cabaran lain termasuk peningkatan kos pembangunan berikutan kebergantungan kepada bahan import.

Dalam masa sama, katanya, pelaksanaan projek itu dijangka merancakkan rantaian bekalan tempatan, membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial penduduk setempat.

“Jika Terengganu sebelum ini terkenal dengan industri minyak dan gas, projek ini akan meneruskan legasi tersebut dengan memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab LNG di Pantai Timur (Kelantan dan Pahang),” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan