KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kesedihan pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang kehilangan tempat tinggal selepas rumah sewa mereka hangus terbakar sedikit terubat apabila menerima bantuan peralatan menjahit dan wang tunai.
Bantuan itu disalurkan kepada Yerlianis Nordin, 37, yang merupakan OKU fizikal, dan suaminya, Yusof Ayob, 37, OKU kerdil, selepas kediaman berusia lebih 100 tahun yang disewa mereka di Kampung Hiliran, Chabang Tiga, musnah dalam kebakaran Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, sumbangan tersebut diberikan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bagi meringankan beban ditanggung pasangan itu.
Menurutnya, bantuan itu juga bertujuan membantu Yerlianis yang sebelum ini mengambil upah menjahit pakaian untuk kembali meneruskan perniagaan selepas peralatan kerjanya turut musnah dalam kejadian berkenaan.
Terdahulu, Ariffin bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi, turun padang ke lokasi kejadian bagi menziarahi keluarga mangsa.
“Hari ini saya menziarahi saudara Yusof dan keluarga yang menjadi mangsa kebakaran pada Khamis lalu.
“Saudara Yusof merupakan suami kepada Puan Yerlianis Nordin, seorang usahawan OKU yang pernah menerima bantuan daripada YPU,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Katanya, jumlah kerugian itu turut melibatkan peralatan perniagaan yang digunakan Yerlianis untuk mengambil upah menjahit pakaian.
“Antara fungsi dan tanggungjawab YPU Terengganu adalah sentiasa berusaha membantu usahawan yang ditimpa musibah agar mereka dapat bangkit semula meneruskan kehidupan dan perniagaan.
“Semoga sumbangan tanggungjawab sosial korporat YPU ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga ini memulakan kembali kehidupan mereka.
“Diharapkan Allah SWT mengurniakan ketabahan, mempermudahkan segala urusan serta menggantikan setiap kehilangan dengan rezeki yang lebih baik,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari Khamis lalu, seramai 23 penghuni daripada empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kebakaran membabitkan empat kediaman di Kampung Hiliran, Chabang Tiga.
Daripada jumlah itu, empat mangsa merupakan individu OKU.
Semua mangsa dilaporkan tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana api merebak dengan cepat.
Tag :