Berita :
RUU Jenayah Siber 2026: MP Setiu Mohon Semakan Semula
RUU Jenayah Siber 2026: MP Setiu Mohon Semakan Semula
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
11 jam yang lepas
96


KUALA LUMPUR, 2 Julai – Ahli Parlimen Setiu,  Shaharizukirnain Abdul Kadir, menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 disemak semula dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen demi memelihara hak asasi serta privasi rakyat.

 Katanya, ancaman jenayah siber amat membimbangkan dengan kerugian mencecah RM2.97 bilion pada tahun 2025, tegas beliau RUU sedia ada mengandungi kelemahan ketara, khususnya membabitkan skop kuasa penguatkuasaan yang terlalu luas.

Membahaskan Fasal 28 dan 36, beliau telah menarik perhatian mengenai kuasa pegawai penyiasat menyita gajet dan menuntut kata laluan tanpa had perlindungan data peribadi yang jelas.

 Beliau memberikan contoh situasi di mana telefon pintar seorang ibu boleh diselongkar sepenuhnya merangkumi gambar peribadi dan maklumat perbankan, walaupun kes yang disiasat hanyalah kes ringan.

 Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan meletakkan syarat jelas agar akses data hanya dibuat secara bersasar untuk bukti kes sahaja bagi mengelakkan kebocoran maklumat.

"Mengapa kementerian begitu mudah mengenepikan institusi mahkamah dalam isu penggeledahan ini? Tidakkah kementerian bimbang kuasa mutlak tanpa waran ini akan membuka ruang kepada isu salah guna kuasa di lapangan?" soal beliau.


Beliau turut mempersoalkan Fasal 29 yang membenarkan penggeledahan dan rampasan premis dilakukan tanpa waran mahkamah, yang dikhuatiri boleh menjejaskan golongan peniaga kecil serta membuka ruang kepada salah guna kuasa. 

Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap Fasal 23 berkaitan sekatan teknologi deepfake.

 Memetik pandangan beberapa NGO seperti Article 19 dan CIJ, beliau berhujah bahawa takrifan kesalahan yang terlalu luas dalam fasal tersebut berisiko menyekat kebebasan bersuara serta tersalah takrif kandungan kreatif seperti karya satira dan kritikan politik sebagai satu jenayah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan