KUALA NERUS, 16 Jun - Masjid Seberang Takir menjadi lokasi pilihan bagi Sambutan Ambang Maal Hijrah 1448 Hijrah peringkat negeri Terengganu tahun ini.
Pemilihan Masjid Seberang Takir sebagai lokasi sambutan kali ini membawa signifikan tersendiri terutamanya sebagai kawasan yang berhampiran dengan tumpuan ikonik nasional, Drawbridge, di negeri itu.

Majlis yang berlangsung petang tadi dimulakan dengan bacaan al-Mathurat pimpinan Imam Besar Negeri Terengganu, Muhammad Ash-Shafie Abd Manan sebelum diteruskan dengan bacaan doa akhir tahun menjelang berakhirnya tahun 1447 Hijrah.
Laungan azan Maghrib kemudian menandakan berakhirnya tahun lama dan bermulanya tahun baharu kalendar Islam, disusuli bacaan doa awal tahun yang turut dipimpin oleh Imam Besar Negeri.Para jemaah kemudiannya menunaikan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat dan bacaan Surah Yasin sebagai tanda memohon keberkatan sempena ketibaan tahun baharu Hijrah.

Majlis seterusnya beralih kepada perutusan sempena Maal Hijrah yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi yang hadir mewakili Menteri Besar Terengganu.Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat, ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu, M. Rozi Bidin.Hadir sama, Dato' Mufti Terengganu, Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Dato' Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan serta Pengerusi Masjid Seberang Takir, Zakaria Dagang.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan solat Isyak berjemaah sebelum para hadirin bersurai.
Tag :
Semasa