Berita :
Segerakan Peruntukan Projek Bina Baharu Masjid Kampung Tok Kah
Segerakan Peruntukan Projek Bina Baharu Masjid Kampung Tok Kah
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 21 April - Kerajaan Negeri diminta menyegerakan peruntukan projek bina baharu Masjid Kampung Tok Kah memandangkan struktur sedia ada yang dibina sejak tahun 1963 sudah tidak selamat digunakan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata,  Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesyorkan agar penggunaan bangunan tersebut diminimumkan demi faktor keselamatan sementara menunggu peruntukan pembinaan semula.

"Isu Masjid Tok Kah bukan lagi sekadar soal keselesaan, tetapi ia soal nyawa jemaah. 

"Berdasarkan laporan rasmi JKR Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS) yang bertarikh 13 Mei 2022, pemeriksaan visual di tapak mendapati kerosakan utama adalah pereputan dan serangan anai-anai sangat serius pada tiang-tiang kayu utama yang menyokong bumbung masjid.

"Tiang-tiang ini telah mengalami section loss (kehilangan jisim kayu) yang menyebabkan pengurangan kapasiti mampatan struktur. Malah, ada pangkal tiang dikesan telah terputus sepenuhnya akibat serangan anai-anai tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, Di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihak JKR Forensik Struktur mengklasifikasikan keadaan ini sebagai kritikal memandangkan beban bumbung kini ditampung oleh dinding dan rasuk yang tidak direka bentuk untuk tujuan tersebut. 

"JKR memberi amaran keras bahawa tiang-tiang ini perlu diganti segera bagi mengelakkan bumbung runtuh secara tiba-tiba.

"Walaupun laporan ini telah dikeluarkan sejak Mei 2022, namun sehingga kini rakyat masih menanti kelulusan projek bina baharu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Kerajaan Negeri melakukan semakan semula dan menambah peruntukan kepada Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).

"Pada masa ini, peruntukan tahunan yang disalurkan adalah sebanyak RM1 juta, tetapi kos bagi membina sebuah rumah PPRT/PPTS yang sempurna mengikut spesifikasi semasa adalah sekitar RM75,000 seunit.

"Ini bermakna, dengan RM1 juta tersebut, kita hanya mampu membina lebih kurang 13 unit rumah sahaja setahun," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan