Berita :
Semakan Semula Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu Di Peringkat Akhir
Semakan Semula Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu Di Peringkat Akhir
Mohd Irsyadi Abu Bakar
8 jam yang lepas
183

KUALA TERENGGANU 21 April - Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu sedang melalui proses akhir untuk diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). 

Secara keseluruhannya, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyatakan bahawa kerajaan negeri juga komited memperkukuh pelaksanaannya melalui perakuan Jabatan Mufti Negeri Terengganu serta penilaian dan penyelarasan aspek perundangan, termasuk keperluan pindaan atau penggubalan sebarang enakmen, kaedah, peraturan dan prosedur berkaitan oleh pihak-pihak berkenaan agar selari dengan garis panduan ditetapkan. 

"Langkah ini penting bagi memastikan garis panduan ini bukan sahaja bersifat dasar, tetapi benar-benar berupaya dikuatkuasakan secara berkesan, menyeluruh dan berimpak tinggi. 

"Garis panduan berkenaan merangkumi tiga komponen utama, iaitu mengenai teras dalam sesuatu acara dan hiburan, mengikut jenis-jenis acara dan hiburan, serta berkenaan dengan beberapa aktiviti lain seperti penerbitan, promosi, pelancaran dan perayaan orang bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, ADUN Manir, Hilmi Harun dan ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dalam Sidang Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di sini hari ini.

Tambahnya, sebenarnya garis panduan berkenaan telah sedia ada sejak penggal lepas dan dibuat semakan serta kemas kini berdasarkan keperluan semasa, khususnya berkait libat urus kepad protfolio lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelancongan.

"Sebagai contoh, apabila diberitahu kita ini sebuah negeri pelancongan yang mana ramai pelancong-pelancong datang, banyak acara-acara yang dianjurkan, maka perlu kepada satu garis panduan kepada pihak PBT dan pihak pelancongan.

"Kita sentiasa kaji dan membuat penambahbaikan, kita (juga) telah menubuhkan sekretariat di mana sekretariat ini yang telah dilantik turut mengadakan beberapa siri perbincangan mesyuarat dan bengkel libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri, PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta kumpulan pakar dalam bidang yang berkaitan," jelasnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan