KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Seramai sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu (JIMNT) dalam empat operasi penguatkuasaan berasingan di beberapa lokasi di negeri ini, hari ini.
Menurut JMINT dalam satu kenyataan pada hari ini, operasi pada 9 Ogos lalu itu membabitkan Ops Sapu, Ops Belanja, Ops Hijau dan Ops Selera yang dilaksanakan menerusi Bahagian Penguatkuasaan JIMNT bermula jam 8 pagi.

"Pemeriksaan memberi tumpuan kepada tapak pembinaan, rumah pekerja, rumah kediaman dalam pembinaan, chalet, tapak semaian dan premis makanan," kata kenyataan tersebut.
Hasil daripada pemeriksaan, sembilan PATI terdiri daripada enam lelaki dan tiga perempuan berusia antara 23 hingga 47 tahun ditahan.
"Tangkapan membabitkan empat warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan, dua lelaki warga Bangladesh serta tiga warga Thailand terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan.
"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan tidak memiliki pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, satu saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
"Kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa," kata JMINT.
JIMNT turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di Terengganu.