KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Skuad tenis Terengganu menyasarkan satu pingat emas menerusi acara perseorangan wanita selain satu gangsa dalam acara beregu wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Pengurus Pasukan Tenis SUKMA Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zamri Awang berkata, sasaran emas itu disandarkan kepada Anja Samia Nayar, 21, dalam acara perseorangan wanita, manakala Anja turut digandingkan bersama pemain berusia 15 tahun, Delisha Amanda, bagi memburu gangsa dalam acara beregu wanita.

Katanya, sasaran yang ditetapkan itu dibuat berdasarkan kemampuan serta prestasi semasa atlet, selain persiapan pasukan yang semakin dipertingkatkan menjelang kejohanan.
“Bagi acara perseorangan wanita, kita menyasarkan satu pingat emas menerusi Anja Samia Nayar, manakala bagi beregu wanita kita menyasarkan satu pingat gangsa menerusi gandingan Anja dan Delisha,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang berperanan sebagai bapa angkat kepada skuad tenis Terengganu berkata, penyertaan di SUKMA perlu dilihat sebagai satu langkah awal untuk atlet melangkah lebih jauh dalam sukan berkenaan.
Menurutnya, atlet tidak seharusnya meletakkan cita-cita pada tahap yang terlalu kecil, sebaliknya perlu berani memasang impian lebih besar berdasarkan usaha dan latihan yang telah dilakukan.

Beliau berkata, peranan sebagai bapa angkat bukan sekadar memberi sokongan ketika kejohanan, tetapi turut menjadi satu bentuk motivasi kepada atlet supaya terus berusaha membina masa depan dalam bidang tenis.
“Saya harap adik-adik semua buat bersungguh-sungguh. Apa yang kita sudah latih, apa yang kita sudah usahakan, insya-Allah tidak mustahil untuk kita mendapat pingat dalam SUKMA nanti,” katanya.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut menyifatkan SUKMA sebagai platform penting untuk atlet menimba pengalaman dan membina keyakinan sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk ke arah kerjaya sebagai pemain tenis profesional.
Acara tenis SUKMA Selangor 2026 dijadual bermula pada 17 Ogos, dua hari selepas temasya berkenaan membuka tirai pada 15 Ogos.