lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026 : Atlet Kabaddi Wanita Terengganu Cedera
SUKMA 2026 : Atlet Kabaddi Wanita Terengganu Cedera
Ariss Alias
1 jam yang lepas
41

SERDANG JAYA, 19 Ogos: Seorang atlet Kabaddi wanita Terengganu, Nor Ainun Maziah, dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk ketika beraksi menentang Selangor dalam penentuan pingat gangsa di Stadium MBSJ Serdang Jaya, di sini, semalam.

Pemeriksaan X-ray mendapati tiada keretakan atau patah pada tulang tengkuk (cervical), namun atlet berkenaan masih mengalami kesakitan dan kebas pada bahagian tengkuk serta bahu.

Doktor dijadual menjalankan pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) pada bahagian cervical hari ini bagi memastikan tiada kecederaan serius sebelum beliau dibenarkan keluar hospital.

Dalam perlawanan itu, Terengganu tewas 20-32 kepada Selangor dan terlepas peluang meraih pingat gangsa acara Kabaddi wanita.

Timbalan Ketua Kontinjen 2 (DCM2) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, keputusan berkenaan tidak menjejaskan rasa bangga terhadap semangat dan keberanian atlet Terengganu yang berjuang sehingga ke saat terakhir.

“Dalam penentuan pingat gangsa acara Kabaddi kategori wanita, rezeki kita belum sampai untuk membawanya pulang.

“Namun, semangat dan keberanian yang ditunjukkan anak-anak tetap cukup membanggakan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata Kabaddi bukan sukan biasa kerana memerlukan kekuatan fizikal dan aksi sengit, namun atlet Terengganu tetap berani berentap dan memberikan yang terbaik sehingga tamat perlawanan.

“Kalah menang adat pertandingan. Yang penting, kalian sudah memberikan yang terbaik dan membawa nama Terengganu dengan penuh maruah,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Ainun diberikan kesembuhan serta berharap semua atlet terus tabah meneruskan perjalanan dalam bidang sukan. 

“Terima kasih, anak-anak Ummi. Terus melangkah, perjalanan kalian masih panjang,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan