lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026 : Skuad Futsal Gagal Mara Ke Separuh Akhir
SUKMA 2026 : Skuad Futsal Gagal Mara Ke Separuh Akhir
Ariss Alias
5 jam yang lepas
100

SHAH ALAM, 18 Ogos - Skuad futsal lelaki Terengganu gagal mara ke separuh akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas tewas 1-2 kepada Pulau Pinang dalam aksi suku akhir di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor, di sini hari ini. 

Terengganu bermula garang apabila Muhammad Aiman Hakim meletakkan pasukan itu di depan pada minit ke-15, sekali gus menyaksikan skuad negeri itu mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama. 


Bagaimanapun, Pulau Pinang bangkit pada babak kedua apabila Mohamad Haziqkhan menyamakan kedudukan pada minit ke-30 sebelum Naufal Al Hakim menjaringkan gol kemenangan tiga minit kemudian. 

Terengganu yang berusaha keras untuk mencari gol penyamaan pada baki perlawanan bagaimanapun gagal menembusi pertahanan Pulau Pinang, sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan tipis itu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof, yang juga bapa angkat sukan futsal, berkata kekalahan berkenaan sememangnya mengecewakan selepas pasukan Terengganu berjaya menguasai kelebihan pada separuh masa pertama. 

“Kita berjaya mendahului pada separuh masa pertama, namun sayangnya beberapa kesilapan kecil memberi ruang kepada pasukan lawan untuk bangkit. 

“Kecewa itu pasti ada, tetapi perjuangan dan usaha para pemain tetap membanggakan. Jadikan kekalahan ini sebagai pengalaman untuk bangkit lebih kuat,” katanya. 

Beliau berkata para pemain perlu menjadikan pengalaman beraksi di pentas SUKMA sebagai pembelajaran bagi memperbaiki kelemahan dan kembali dengan lebih mantap pada kejohanan akan datang.


Tag :

Artikel Berkaitan