lightning-solid
Berita :
SUKMA 2026: Skuad Futsal Terengganu Mara Ke Suku Akhir
SUKMA 2026: Skuad Futsal Terengganu Mara Ke Suku Akhir
Ariss Alias
4 jam yang lepas
80

SHAH ALAM, 17 Ogos — Skuad futsal Terengganu mara ke suku akhir Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mengikat Sarawak 3-3 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Kompleks Belia dan Sukan Shah Alam, hari ini.

Sarawak membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Asyraff Zakaria sebelum Terengganu menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi Muhammad Aiman Hakim Mohd.

Terengganu kemudian mendahului 2-1 pada minit ke-11 hasil jaringan Ahmad Azry Syahmie Nor Aminu, namun Sarawak kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Imad Zafqul Syamil Darahman. 

Mohammad Safiq Hamzah meletakkan Sarawak di depan 3-2 pada minit ke-28, sebelum Muhammad Faris Iman Mahadi menyelamatkan Terengganu daripada kekalahan menerusi gol penyamaan pada minit ke-33. 

Keputusan 3-3 itu menyaksikan Terengganu melangkah ke pusingan kalah mati dan akan berdepan Pulau Pinang pada aksi suku akhir, esok. 

Pertembungan berkenaan dijadualkan berlangsung pada 4.00 petang esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof selaku bapa angkat skuad futsal Terengganu berharap, pasukan itu dapat mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan dan mengesahkan tiket ke separuh akhir. 

Beliau turut berpesan supaya barisan pemain kekal fokus, berdisiplin serta memanfaatkan setiap peluang yang terhidang bagi memastikan impian membawa pulang kejayaan untuk Terengganu dalam temasya SUKMA kali ini menjadi kenyataan.


Tag :

Artikel Berkaitan