Gandingan Terengganu, Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan dan Ahmad Hazim Syahmi Nik Mat, meraih emas acara beregu lelaki tenpin boling pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Sunway Mega Lanes, semalam.
Mereka mengumpul 2,651 jatuhan pin untuk menewaskan pasangan Wilayah Persekutuan, Muhammad Harits Helmi Azhar-Muhammad Fauzul Aziem Norkamal, dengan kelebihan 12 pin. Pingat gangsa menjadi milik Pulau Pinang dengan 2,579 pin.

Bagi Hazim, 21, kejayaan itu lebih bermakna kerana ia merupakan emas SUKMA pertama dalam penampilan terakhirnya di temasya berkenaan. Pasangan itu turut tidak mengetahui mereka muncul juara sehingga dimaklumkan jurulatih selepas balingan terakhir.

Zarif dan Hazim akan meneruskan cabaran dalam acara bertiga dan berpasukan hari ini dengan sasaran membantu Terengganu menambah kutipan pingat.