Jalur Gemilang
Berita :
Sumbangan Mustad’afin DUN Sura Diteruskan
Sumbangan Mustad’afin DUN Sura Diteruskan
Naim Fadhilah Kamaruddin
16 jam yang lepas
125

DUNGUN, 20 September - Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura meneruskan program sumbangan kepada 460 orang golongan Mustad’afin sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat yang memerlukan, khususnya dalam berdepan tekanan ekonomi semasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, program berkenaan merupakan kesinambungan usaha kebajikan yang telah dilaksanakan di DUN Sura sejak zaman kepimpinan terdahulu.

Menurutnya, walaupun terdapat kekangan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, usaha membantu golongan yang memerlukan tetap diteruskan mengikut kemampuan yang ada.

“Alhamdulillah, kita dapat aturkan dengan sedikit sumbangan yang ada ini untuk kita berikan kepada penerima-penerima Mustad’afin yang ada dalam senarai kita.

"Keadaan ekonomi semasa yang turut dipengaruhi situasi ekonomi dunia dan peningkatan kos tertentu memberi tekanan secara beransur-ansur kepada kehidupan rakyat, termasuk golongan peniaga dan mereka yang berpendapatan rendah.

“Walaupun kita mungkin tidak terlibat secara terus, tetapi tekanan itu sedikit demi sedikit tetap kita akan rasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura akan terus berusaha mendapatkan sumber tambahan bagi memperluaskan bantuan kebajikan kepada rakyat yang memerlukan.

Bantuan pihak DUN kali ini disalurkan dalam bentuk barangan asas, manakala usaha mendapatkan sumbangan tambahan termasuk bantuan tunai akan diteruskan sekiranya terdapat kemampuan dan sumber yang bersesuaian.

Dalam pada itu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut menegaskan peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebagai penghubung penting dalam mengenal pasti rakyat yang memerlukan perhatian.

“JPKK-JPKK kita ini sentiasa membantu dan akan menjadi mata dan telinga kepada Pusat Khidmat Masyarakat untuk memastikan setiap warga yang berada di DUN Sura ini, insya-Allah tidak ada yang kebuluran dan tidak ada yang kelaparan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya terdapat rakyat yang berdepan masalah atau kesukaran mendapatkan keperluan asas, pihaknya akan cuba membantu setakat kemampuan yang ada.

Program berkenaan berlangsung dalam suasana bulan Rabiulawal yang menjadi ruang untuk umat Islam memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW serta meneladani ajaran dan sunnah Baginda, khususnya dalam aspek rahmat, keadilan dan kepedulian terhadap masyarakat.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menyatakan bahawa semangat tersebut turut menjadi asas dalam usaha membina masyarakat yang saling membantu serta memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

Beliau berharap sumbangan yang disampaikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban dan tanggungan penerima, selain mengingatkan mereka agar tidak berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Jelasnya, program kebajikan seperti sumbangan Mustad’afin akan terus diberi perhatian dan diusahakan pada masa akan datang mengikut kemampuan yang ada.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan