Berita :
Sungai Terengganu Lebih Bersih Berbanding Banyak Negeri
Sungai Terengganu Lebih Bersih Berbanding Banyak Negeri
Adli Mohamad
12 jam yang lepas
158

KUALA TERENGGANU, 21 April — Sungai-sungai utama di Terengganu seperti Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Terengganu berada dalam keadaan sangat bersih, terkawal serta lebih baik berbanding banyak negeri lain, kata exco negeri Datuk Razali Idris.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu berkata majoriti sungai terbabit mencatatkan Indeks Kualiti Air (IKA/WQI) Kelas 1, iaitu kategori bersih yang masih mampu memenuhi keperluan sebagai sumber air mentah untuk bekalan air minuman.

Menurutnya, air sungai di Terengganu juga hanya memerlukan rawatan konvensional selain sesuai untuk aktiviti rekreasi berasaskan air.

Razali berkata bagi memastikan sungai-sungai berkenaan terus kekal bersih untuk generasi akan datang, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah penjagaan dan kawalan.

Antaranya, kata beliau, termasuk kawalan pembangunan di koridor sungai, pelaksanaan pelan kawalan hakisan dan kelodak, projek pemulihan sungai, pendekatan Integrated River Basin Management (IRBM), pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy) serta pewartaan rizab sungai.

"Semua langkah itu penting bagi mengelakkan pencemaran dan pencerobohan, sekali gus memastikan kelestarian sungai dapat dipertahankan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab perkara berbangkit yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Istiadat Pembukaan Penggal) di Wisma Darul Iman hari ini. 

Mengulas lanjut, Razali berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil kira beberapa risiko yang berpotensi menjejaskan kualiti sungai pada masa depan.

Menurutnya, antara risiko berkenaan ialah aktiviti pembangunan berhampiran sungai, hakisan tanah serta pelepasan sisa yang tidak terkawal.

"Langkah ini telah membantu mengurangkan beban pencemaran serta mengekalkan kualiti air sungai pada tahap yang baik dan terkawal," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan