Berita :
TADC Pacu Projek Tanaman Nanas MD2 Di Kampung Pak Kancil, Lonjak Pendapatan Usahawan Tani
TADC Pacu Projek Tanaman Nanas MD2 Di Kampung Pak Kancil, Lonjak Pendapatan Usahawan Tani
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
130

SETIU, 22 Jun – Projek Pembangunan Usahawan Tanaman Nanas MD2 di Kampung Pak Kancil kini menjadi antara agenda penting dalam memacu sektor agromakanan negeri, sekali gus berupaya melonjakkan sosioekonomi usahawan tempatan.

Projek berimpak tinggi yang diuruskan oleh Terengganu Agrotech Development Corp (TADC) ini dirangka secara sistematik bagi memastikan rantaian pengeluaran hasil pertanian negeri sentiasa mampan dan berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, komitmen kerajaan negeri melalui TADC adalah untuk membimbing peserta projek bermula daripada fasa penyediaan tanah sehinggalah kepada aspek pemasaran.

Menurut beliau, pemilihan varieti Nanas MD2 adalah bertepatan dengan permintaan pasaran yang tinggi serta nilai komersialnya yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada para pengusaha.

"Langkah ini bukan sahaja berupaya melahirkan lebih ramai usahawan tani yang dinamik, malah menjadi sebahagian daripada usaha proaktif kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan," katanya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Sinergi antara agensi kerajaan seperti TADC dan komuniti setempat di Setiu membuktikan bahawa tanah terbiar atau kawasan luar bandar mampu dioptimumkan menjadi hub pengeluaran komoditi pertanian yang produktif. 

Melalui pengurusan TADC, para usahawan di Kampung Pak Kancil tidak hanya diberikan bantuan teknikal, malah turut didedahkan dengan amalan pertanian baik bagi memastikan kualiti gred buah yang dihasilkan memenuhi piawaian pasaran domestik dan eksport.

Perkembangan positif projek ini dijangka akan terus menjadi penanda aras bagi program pembangunan usahawan tani di daerah Setiu, sekali gus membuktikan sektor pertanian adalah satu perniagaan yang menjanjikan masa depan yang cerah buat rakyat Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan