lightning-solid
Berita :
TER Raih Pengiktirafan Nasional, Sasar Jadi Lokasi Acara Utama Terengganu
TER Raih Pengiktirafan Nasional, Sasar Jadi Lokasi Acara Utama Terengganu
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
400

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos  – Terengganu Equestrian Resort (TER) mengukuhkan kedudukannya dalam industri pelancongan apabila dinobatkan sebagai Best Equestrian Resort Experience pada Tourism Industry Awards (TIA) 2026, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk resort berkenaan diketengahkan sebagai destinasi pelancongan dan lokasi acara utama di Terengganu.

Pengurus Besar TER, Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, pengiktirafan berkenaan amat bermakna kerana ia merupakan anugerah sulung yang diterima TER menerusi Tourism Industry Awards, sekali gus membuktikan potensi resort berkenaan untuk diketengahkan di peringkat nasional.

Menurutnya, kejayaan itu bukan sekadar pencapaian sebuah organisasi, sebaliknya menjadi pengiktirafan terhadap usaha dan komitmen seluruh warga TER dalam menyediakan pengalaman terbaik kepada pengunjung.

“Anugerah ini bukan sekadar sebuah trofi, tetapi merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha, komitmen, kreativiti dan kerja keras seluruh warga TER dalam memberikan pengalaman terbaik kepada setiap tetamu dan pengunjung.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa TER mempunyai potensi yang besar untuk diketengahkan dalam industri pelancongan negara,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Ahmad Fathil menambah, TER kini tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada aktiviti ekuestrian, malah sedang memperkukuhkan kedudukannya sebagai venue provider bagi penganjuran pelbagai program korporat, komuniti, kebudayaan, sukan dan pelancongan.

Katanya, beberapa program yang telah dianjurkan sebelum ini termasuk TERMoreh dan Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera, yang menunjukkan penerimaan positif terhadap TER sebagai lokasi penganjuran acara.

“Momentum ini akan diteruskan menerusi beberapa program berskala besar yang bakal berlangsung, antaranya Hub Kemahiran Kebombaan pada Ogos 2026 yang dijangka melibatkan sekitar 1,200 peserta,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa acara turut dijadualkan berlangsung di TER pada Oktober ini termasuk Pertandingan Gamelan Tradisional Piala Tengku Seri Bijaya Raja, Pementasan Teater Muzikal Sultan Zainal Abidin III, Pertandingan Sukan Kraftangan Malaysia serta Equine Fun Run.

Menurut Ahmad Fathil, perkembangan tersebut memberi peluang kepada TER untuk memperkukuhkan jenama sebagai antara lokasi pilihan bagi penganjuran acara di Terengganu.

“Setiap program yang dianjurkan bukan sahaja memberi impak kepada TER, malah berpotensi menarik kehadiran pengunjung, peserta dan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan di peringkat nasional itu akan dijadikan pemangkin untuk TER terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, memperbanyakkan program berimpak dan mengetengahkan pengalaman ekuestrian dan produk pelancongan yang terdapat di resort berkenaan.

“Kemenangan ini kita jadikan sebagai titik permulaan, bukan titik akhir. 

"Kita mahu TER terus berkembang dan dikenali bukan sahaja sebagai sebuah resort ekuestrian, tetapi sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman, acara, rekreasi, hospitaliti dan produk pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri,” tambah beliau.

Katanya, kejayaan tersebut turut memberi nilai tambah kepada usaha memperkukuhkan promosi pelancongan Terengganu, khususnya dalam memperkenalkan produk pelancongan berasaskan pengalaman dan ekuestrian kepada pasaran yang lebih luas.

TER kini bersedia meneruskan momentum berkenaan menerusi kerjasama strategik bersama pemain industri, agensi kerajaan, pihak korporat dan komuniti bagi menjadikan resort itu sebagai salah satu destinasi pelancongan dan lokasi acara utama di Terengganu.

Anugerah tersebut disampaikan pada Majlis Makan Malam Gala Tourism Industry Awards (TIA) 2026 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA) di Grand Lagoon Ballroom, Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor, pada 8 Ogos lalu.

Majlis berkenaan yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menghimpunkan kira-kira 1,200 tetamu terdiri daripada National Tourism Organisations (NTOs), pemain industri pelancongan dan perhotelan, pihak korporat serta pengamal media.


Tag :

Artikel Berkaitan