lightning-solid
Berita :
“Terengganu Banyak Bantu Saya” – Aliff Rakib
“Terengganu Banyak Bantu Saya” – Aliff Rakib
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
58


KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib tidak melupakan jasa Terengganu selepas berjaya merangkul gelaran dunia ONE Championship dengan menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao.

Jaguh Muay Thai negara itu menerusi sebuah video pendek sempat merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu yang menyokong perkembangan bakatnya sejak awal pembabitan sebagai atlet Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kerajaan negeri telah ‘support’ saya, bayar makan saya dan saya hendak berterima kasih juga kepada Kerajaan Terengganu,” katanya ringkas.

Untuk rekod, Aliff sudah menerima sokongan Terengganu sejak usia muda dalam perjalanan membina kariernya sebagai atlet Muay Thai.

Sebelum mencipta nama di pentas ONE Championship, Aliff pernah muncul juara dunia remaja Muay Thai selain memenangi pingat emas Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Mewakili Terengganu, beliau turut menghadiahkan pingat emas dan menepati sasaran kontinjen negeri pada temasya SUKMA 2022.

Perjalanannya bersama kontinjen Terengganu berterusan sehingga SUKMA Sarawak 2024 apabila beliau sekali lagi beraksi mempertahankan kejuaraan dan merangkul pingat emas.

Terbaharu, Aliff mencipta sejarah tersendiri apabila muncul rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship selepas menumbangkan Sam-A menerusi kemenangan knockout (KO) untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight.

Kejayaan itu bukan sahaja menjadi pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini, malah meletakkan nama Aliff dalam sejarah sebagai atlet pertama negara menjulang kejuaraan dunia di pentas organisasi seni bela diri terbesar dunia itu.

Daripada pentas SUKMA bersama Terengganu hingga ke pentas dunia, perjalanan Aliff menjadi antara kisah kejayaan atlet tempatan yang berkembang daripada sokongan di peringkat negeri sebelum mencipta nama di arena antarabangsa.



Tag :

Artikel Berkaitan