NILAI, 28 Ogos - Kerajaan Terengganu dan Batik Air akan terus meneroka peluang kerjasama strategik bagi memperluaskan akses anak negeri kepada industri penerbangan, termasuk bidang selain penyelenggaraan pesawat.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, kejayaan kerjasama sedia ada menerusi Program Latihan Perlesenan CAAM Kategori A1 menjadi asas untuk membuka lebih banyak ruang kerjaya kepada rakyat Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri bersama Yayasan Terengganu, Yayasan Pendidikan MAIDAM dan T-HRDC akan terus berbincang serta meneroka bidang baharu yang boleh memberi manfaat kepada lebih ramai anak negeri.

“Kita rasa bangga kerana Terengganu telah mendahului negeri-negeri lain mengadakan kerjsama dengan Syarikat Penerabangan batik Air,” katanya ketika ditemui pada Kunjungan Hormat Muhibbah ke Pusat Latihan Teknikal Batik Air, Batik Air Training Centre, Bandar Baru Enstek, di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, pendekatan kerajaan negeri untuk masa depada anak Terengganu bukan hanya tertumpu kepada peluang pekerjaan yang terdapat di negeri, sebaliknya turut membuka ruang kepada anak negeri mendapatkan pekerjaan dalam industri berkemahiran tinggi di dalam negara ini.
Katanya, sasaran kerajaan negeri ialah mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan setahun, dengan usaha yang dilaksanakan setakat ini telah menyumbang kepada lebih 20,000 peluang pekerjaan.
“Kita tidak menafikan mereka mungkin tidak bekerja di Terengganu tetapi mereka bekerja di luar. Apa sahaja peluang yang kita boleh bantu anak-anak Terengganu, kita teroka.
“Kalau kita tidak buat (teroka), mungkin pelajar-pelajar tidak dapat peluang ini. Kita berpakat, berbincang dan sentiasa mencari ruang dalam bentuk kerjasama,” katanya.
Sementara itu, COO Batik Air Malaysia, Capt. Mushafiz Mustafa Bakri berkata, industri penerbangan mempunyai ruang kerjaya yang jauh lebih luas daripada bidang juruterbang dan kru kabin semata-mata.
Menurutnya, Batik Air bersedia membantu kerajaan negeri memperluaskan pembangunan industri penerbangan dengan meneroka bidang berkaitan termasuk pengurusan, undang-undang, kewangan dan sumber manusia.
“Bidang penerbangan ini bukan hanya menjadi pilot atau cabin crew, tetapi juga memerlukan pengurusan sumber manusia, undang-undang ataupun kewangan.
“Kerajaan Terengganu dengan Yayasan Terengganu mungkin boleh menghantar pelajar-pelajar lain dalam bidang akademik untuk menyertai Batik Air,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama lebih luas itu juga berpotensi membantu usaha mengembangkan ekosistem penerbangan di Terengganu, termasuk mengukuhkan semula hubungan industri penerbangan dengan negeri berkenaan.
“Bukan setakat ini sahaja kita akan membantu Kerajaan Terengganu untuk membesarkan industri penerbangan, insya-Allah kita sandarkan balik penerbangan ke Terengganu dan memajukan lagi industri penerbangan di Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-HRDC, Aminuddin Omar berkata, cetusan kerjasama tersebut bermula sejak tempoh pandemik COVID-19 selepas pihaknya menerima pendedahan mengenai keperluan tenaga kerja berkemahiran dalam industri penerbangan.
Katanya, rundingan kemudian dilaksanakan bersama Yayasan Terengganu, MAIDAM dan beberapa pihak penaja sebelum program tersebut direalisasikan.
“Kita lihat ini antara bidang berteknologi tinggi yang perlu diberi perhatian dan selepas COVID-19 kita rasa masa sudah sampai untuk memulakan perbincangan yang lebih serius.
“Untuk menjadi satu program, ia mengambil masa kerana kita perlu kenal pasti bidang yang benar-benar bagus dan pada masa sama mampu kita tanggung,” katanya.
