Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Berpotensi Jadi Venue Endurance Sukan SEA 2027
Terengganu Berpotensi Jadi Venue Endurance Sukan SEA 2027
Mastura Jamal Din
16 jam yang lepas
157

KUALA LUMPUR, 21 September - Terengganu berpotensi menjadi venue tambahan bagi acara endurance dalam sukan ekuestrian pada Sukan SEA Malaysia 2027, berdasarkan pengalaman luas negeri itu menganjurkan kejohanan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC), Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, cadangan itu bagaimanapun masih dalam penelitian dan keputusan muktamad belum dibuat.

Katanya, beliau dijadualkan mengadakan lawatan ke Terengganu bulan depan bagi meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan venue yang dicadangkan.

“Setakat ini belum ada keputusan, tetapi kita menjangkakan disiplin endurance untuk sukan ekuestrian akan dibuat di Terengganu.

“Kerajaan negeri Terengganu juga berminat dan sudah menghantar surat rasmi menyatakan mereka ingin menganjurkan acara endurance itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kerjasama antara MASOC dan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.

Menurut Rashid, Terengganu mempunyai kelebihan tersendiri kerana berpengalaman menganjurkan sekurang-kurangnya tiga kejohanan endurance bertaraf antarabangsa setiap tahun.

Katanya, pengalaman berkenaan menjadi antara faktor yang memberi keyakinan terhadap keupayaan negeri itu dari segi pengurusan pertandingan dan kesiapsiagaan venue.

“Trek endurance yang terbaik adalah di Terengganu kerana mereka sekurang-kurangnya tiga kali setahun menjalankan acara endurance antarabangsa.

“Jadi tahap kesiapsiagaan mereka dari segi penganjuran acara memang sangat tinggi,” katanya.

Sebelum ini, empat kluster utama Sukan SEA Malaysia 2027 ditetapkan membabitkan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sarawak dan Pulau Pinang.

Langkawi pula dikenal pasti sebagai lokasi bagi acara pelayaran meskipun tidak termasuk dalam empat kluster utama berkenaan.

Rashid berkata, pemilihan Langkawi dibuat berdasarkan pengalaman serta kemudahan sedia ada di pulau berkenaan yang pernah menjadi lokasi acara pelayaran pada Sukan SEA 2017.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan