KUALA TERENGGANU, 18 November - Terengganu memberi penekanan kepada usaha mengekalkan tanah sawah padi sedia ada supaya tidak ditukar syarat kepada kegunaan lain dalam memastikan kelangsungan pengeluaran makanan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu merupakan antara strategi utama kerajaan negeri bagi meningkatkan potensi sektor pertanian khususnya dalam memperkukuh pengeluaran padi.

"Kita nak kekalkan tanah sawah padi supaya tak ditukar syarat kepada kegunaan lain. Kita nak naikkan infrastruktur dan tingkatkan kesuburan tanah.
"Yang kedua, tanah-tanah kerajaan kita wartakan di bawah Seksyen 62 KTN bagi tujuan aktiviti pengeluaran makanan dan kita sedang menyiapkan bank tanah atau 'land bank' supaya bila pelabur datang, mereka nak tanah kita dah sedia ada data yang lengkap untuk kita tawarkan kepada mereka dan mereka boleh pilih berdasarkan kesesuaian kriteria tanah yang diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelas Dr. Azman, pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur sawah, ladang, kebun, jeti serta pelabuhan perikanan turut menjadi antara fokus kerajaan negeri dalam memperkukuh aktiviti pengeluaran makanan.
Ulasnya lagi, Kerajaan Negeri juga memberi perhatian kepada penggunaan semula tanah terbiar, sama ada tanah milik individu mahupun tanah kerajaan, bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran makanan.
"Dan akhir sekali, tanah terbiar yang menjadi tanah milik dan juga tanah kerajaan yang tidak dimanfaatkan perlu digunakan kembali secara optimum, supaya secara efisien sistem 'smart farming' ini boleh melengkapkan rantaian pengeluaran makanan kita," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri turut melaksanakan usaha menaik taraf sistem pengairan sawah di Paya Paman dan Paya Dadong, Kemaman bagi membolehkan kawasan berkenaan diusahakan dua kali setahun.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.9 juta sejak 2019 bagi kerja menaik taraf sistem pengairan di kedua-dua kawasan berkenaan.
Katanya, peruntukan RM500,000 pada 2025 bagi menaik taraf sistem pengairan di Paya Paman telah siap sepenuhnya, meningkatkan potensi penanaman kepada dua kali setahun.