lightning-solid
Berita :
Terengganu Mahu Lahir Pencipta, Bukan Sekadar Pengguna Teknologi
Terengganu Mahu Lahir Pencipta, Bukan Sekadar Pengguna Teknologi
Amiirullah Mansor
4 jam yang lepas
10

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Generasi muda Terengganu perlu dipersiapkan supaya bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu mencipta, membangunkan idea dan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, perkembangan teknologi digital yang semakin pantas menuntut generasi hari ini memiliki ilmu dan kemahiran untuk turut menjadi pencipta.

“Kita berada dalam dunia yang bergerak sangat pantas. Sebab itu kita berharap anak-anak kita tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi turut melibatkan diri, mencipta dan memainkan peranan dalam perkembangan teknologi itu sendiri.

“Kita mungkin tidak tahu teknologi apa yang akan muncul dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, tetapi kita boleh menyediakan generasi hari ini dengan ilmu, kemahiran dan keberanian untuk mencipta masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Reka Cipta & Inovasi Terengganu 2026 di Terengganu Trade Centre (TTC), di sini, hari ini.

Ekspo yang mengangkat tema 'Inovasi Lokal, Impak Global' itu menghimpunkan jabatan, agensi, institusi pendidikan, institusi pengajian tinggi, pemain industri serta pelbagai pihak yang terlibat dalam bidang reka cipta dan inovasi.

Menurut Dato’ Satiful, inovasi tidak semestinya bermula daripada makmal besar atau syarikat multinasional, sebaliknya boleh tercetus daripada usaha menyelesaikan masalah kecil yang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Kadang-kadang inovasi bermula daripada seorang guru, pelajar, petani, nelayan, penjawat awam atau usahawan yang melihat satu masalah dan mencari cara lebih baik untuk menyelesaikannya.

“Apabila disokong dengan teknologi, ilmu dan ekosistem yang baik, penyelesaian setempat itu boleh berkembang sehingga memberi manfaat di peringkat nasional malah global,” katanya.

Beliau berkata, Ekspo Reka Cipta dan Inovasi Terengganu juga tidak seharusnya dilihat sebagai pertandingan atau pameran semata-mata, tetapi menjadi medan untuk menguji idea, membangunkan prototaip dan menghubungkan teknologi dengan keperluan sebenar masyarakat.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang-Pemegang Amanah Yayasan Terengganu, Abdul Haris Abdul Malek, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab serta Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Salbina Hamzah @ Jaafar.


Artikel Berkaitan