KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Terengganu Marvels sudah melakar sejarah baru semalam, apabila menewaskan Kedah Sunshine 60-46 untuk layak buat kali pertama ke perlawanan akhir Netball Super League (CelcomDigi NSL) Malaysia 2026, hari ini.
Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Terengganu (TNA), Zuraida Md Noor, merakamkan penghargaan atas kejayaan srikandi Terengganu itu dan berharap, satu lagi sejarah baru bakal dipahat dalam aksi terakhir menentang Johor Jewels, pada 7.30 petang ini.

"Jangan takut dengan nama besar lawan, hormat mereka tetapi percaya pada kekuatan sendiri.
"Jadikan tekanan sebagai pembakar semangat bukan penghalang.
"Setiap 'intercept', setiap 'defend', setiap gol lakukan dengan penuh keyakinan dan tenaga luar biasa," pesannya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang menyeru penyokong-penyokong yang berada di ibu kota untuk turun memberikan sokongan pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Sebagai rekod, tahun ini merupakan edisi ketiga penyertaan Terengganu Marvels dalam CelcomDigi NSL 2026.
Buat julung kalinya, Terengganu Marvels melangkah ke separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir tahun ini, setelah menduduki tempat kelima pada dua edisi terdahulu.
Tag :