Berita :
Terengganu Tawar Biasiswa Penuh Pengajian Islam Ke Libya
Terengganu Tawar Biasiswa Penuh Pengajian Islam Ke Libya
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan Islam apabila menawarkan biasiswa penuh kepada lima pelajar setiap tahun untuk melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Islam di Kuliah Dakwah Islamiyyah Tripoli, Libya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, program itu akan mula dilaksanakan pada tahun ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak Terengganu melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya dalam bidang pengajian Islam.

Menurut beliau, biasiswa tersebut merangkumi yuran pengajian, penginapan hostel, makan minum serta duit saku pelajar sepanjang tempoh pengajian.

“Alhamdulillah, Negeri Terengganu ditawarkan biasiswa untuk lima orang pelajar setiap tahun bagi menyambung ijazah Pengajian Islam di Kuliah Dakwah Islamiyyah Tripoli, Libya.

“Kita akan mula menghantar pelajar tahun ini dan biasiswa ini merangkumi yuran pengajian, hostel, makan minum serta duit saku,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Dalam perkembangan sama, permohonan pengajian bagi sesi 2026/2027 turut dibuka kepada anak Terengganu yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab di beberapa negara Timur Tengah serta Afrika Utara.

Negara yang terlibat ialah Algeria, Tunisia, Libya dan Oman.

Antara syarat utama permohonan ialah pemohon mestilah rakyat Negeri Terengganu dengan salah seorang ibu atau bapa dilahirkan di negeri ini.

Selain itu, ibu atau bapa pemohon juga perlu berdaftar sebagai pengundi di Terengganu.

Permohonan turut memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40, selain pemohon mestilah berumur tidak melebihi 25 tahun dan masih bujang.

Penyertaan dibuka bermula 7 Mei hingga 14 Mei 2026 jam 3 petang.

Tawaran itu dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak muda Terengganu, selain melahirkan lebih ramai pelapis dalam bidang ilmu Islam dan Bahasa Arab di peringkat antarabangsa. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan