Berita :
Terengganu Terus Mampan, Ekonomi Catat Pertumbuhan 4.5 Peratus – Pemangku Raja
Terengganu Terus Mampan, Ekonomi Catat Pertumbuhan 4.5 Peratus – Pemangku Raja
Mastura Jamal Din
10 jam yang lepas
193

KUALA TERENGGANU, 20 April - Negeri Terengganu terus membuktikan ketahanan dan kestabilannya apabila kekal utuh, aman serta harmoni meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan pentadbiran, ketidaktentuan ekonomi dan bencana alam.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kestabilan yang dinikmati ketika ini adalah hasil keberkesanan dasar dan strategi yang dilaksanakan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini Negeri Terengganu masih utuh, aman damai dan harmoni selepas melalui fasa perubahan pentadbiran, ekonomi dan bencana alam,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, baginda bertitah, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun 2023, sekali gus mencerminkan peningkatan kualiti hidup rakyat dari sudut ekonomi dan sosial.

"Sementara itu, ekonomi Terengganu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus pada tahun 2024 dengan nilai RM39.9 bilion, berbanding 2.2 peratus pada tahun 2023 yang mencatatkan RM38.2 bilion.

"Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK negeri iaitu sebanyak 51.9 peratus, diikuti sektor pembuatan 36.6 peratus dan sektor pembinaan 17.5 peratus," titah baginda lagi.

Menurut baginda, pencapaian tersebut jelas menggambarkan keberkesanan dasar pembangunan negeri dalam memperkukuh ekonomi serta meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan