Berita :
THT Temui Rentak Sebenar, Benam TS 4-1
THT Temui Rentak Sebenar, Benam TS 4-1
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
88

KUALA LUMPUR, 3 Mei - Terengganu Hockey Team (THT) dilihat kembali menemui rentak sebenar apabila menewaskan Territory Stingers (TS) 4-1 dalam aksi Liga Hoki di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, petang tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad Penyu, malah menjadi pemangkin untuk terus menghidupkan cabaran mereka dalam saingan liga selepas keciciran mata sebelum ini.

Ketua jurulatih THT, Harfizi Bahrom, meluahkan rasa bangga terhadap komitmen yang ditunjukkan anak buahnya, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil semangat berpasukan yang tinggi.

"Walaupun kita tahu kita sudah keciciran banyak mata pada perlawanan-perlawanan sebelum ini, tapi mereka memang menunjukkan sikap tidak mengalah dan kita masih mampu untuk bersaing di dalam liga ini.

"Perlawanan hari ini mereka tunjukkan satu komitmen yang lebih daripada perlawanan-perlawanan sebelum ni," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas perlawanan.

Mengulas tentang perubahan berbanding aksi terdahulu, beliau berkata corak serangan pasukan kini semakin menunjukkan peningkatan yang positif.

"Hari ini kita punya corak menyerang kita, kita dah dapat 'touch' itu, maknanya kombinasi di antara pemain-pemain kita di bahagian serangan tu dah menunjukkan satu impak yang positif dekat pasukan.

"Jadi, mereka tahu bila perlu kita memegang bola dan bila peluang itu ada, mereka tujukan kepada peluang itu 100 peratuslah," jelasnya.

Dalam masa sama, Harfizi menegaskan skuadnya kini fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan menjelang aksi seterusnya.

"Kita nak kekalkan momentum yang sama dan semangat yang sama macam perlawanan hari ini dan insya-Allah, mereka sudah 'aware' dengan benda itulah.

"Kita akan pergi 100 peratus lagilah untuk hari Selasa ini. Kita tahu liga panjang ini jadi masih ada peluang untuk kita kejar ke puncak liga. Kita akan terus bersaing.

"Jadi, untuk pasukan THT, kita akan terus konsisten untuk mengekalkan tiga mata penuh supaya kita boleh mencabar pasukan-pasukan yang ada di atas. 

"Kunci kemenangan hari ini, semangat sepasukan,” tegasnya.

Terdahulu, THT membuka jaringan seawal separuh masa pertama menerusi gol padang oleh Keenan Craig Horne sebelum menggandakan kelebihan pada suku ketiga hasil jaringan penyerang sensasi THT, Faizal Saari. 

Skuad kendalian Harfizi terus memperkemaskan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti oleh Faizal, sebelum pemain import dari India, Dilraj Singh Gautam Singh menambah gol keempat pada suku terakhir.

Dalam usaha saat akhir untuk mengejar jurang mata yang luas, TS sekadar memperoleh gol sagu hati menerusi pemain bernombor 10, Zach Rakkas, namun jaringan tersebut tidak cukup untuk menghalang kemenangan THT.

THT dijadualkan untuk menyaingi Lioning Men's Hockey Team (LMHT) dalam pusingan ke-28 liga bertempat di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil pada 5 Mei ini.


Ketupat

Artikel Berkaitan