Berita :
Waris Lagenda Bola Sepak Terengganu Terima RM40,000 Takaful UniSZA
Waris Lagenda Bola Sepak Terengganu Terima RM40,000 Takaful UniSZA
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 10 Jun – “Alhamdulillah, syukur. Terima kasih pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sangat prihatin dalam menjaga kebajikan staf, dan sumbangan RM40,000 ini dapat saya gunakan untuk pendidikan anak-anak,” kata balu waris lagenda bola sepak Terengganu, Allahyarham Zulharisham Awang, Nik Noratiza Nik Abd Aziz.

Beliau menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna dalam meneruskan kelangsungan hidup keluarga, khususnya bagi memastikan pendidikan tiga orang anaknya terus terjamin.

Nik Noratiza memaklumkan bahawa tiga orang anaknya masih bersekolah, iaitu seorang di Institut Pendidikan Guru (IPG), seorang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abas, dan seorang lagi di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring.

“Saya suri rumah dan bantuan ini sangat membantu kami sekeluarga untuk meneruskan kehidupan.

"Harapan saya agar anak-anak berjaya dalam bidang yang mereka ceburi pada masa akan datang,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada UniSZA atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan staf dan waris.

“Terima kasih pihak UniSZA, majikan yang sangat baik, peka dan cakna dalam membantu kebajikan keluarga staf,” tambahnya.

Sementara itu, UniSZA terus memperkukuh agenda kebajikan warganya melalui penyerahan bayaran sumbangan kematian di bawah Pelan Takaful Berkelompok Staf kepada waris Allahyarham Zulharisam Awang, tokoh lagenda bola sepak Terengganu.

Sumbangan itu diserahkan dalam satu program yang berlangsung di kediamannya di Kampung Baru Gong Badak, Simpang Tok Jembal, semalam.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, skim takaful berkelompok itu merupakan antara manfaat utama yang disediakan universiti bagi menjaga kebajikan staf serta waris sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal.

Menurut beliau, pihak pengurusan sentiasa meletakkan kebajikan staf dan keluarga sebagai keutamaan, selain memastikan bantuan disalurkan bagi meringankan beban waris yang terkesan.

“Pihak pengurusan sentiasa meletakkan kebajikan staf dan keluarga sebagai keutamaan tertinggi.

"Sumbangan ini diharap dapat membantu kelangsungan hidup waris serta membuktikan kebersamaan UniSZA dalam menghargai jasa staf,” katanya.

Melalui pelan berkenaan, waris kepada peserta yang meninggal dunia layak menerima manfaat perlindungan sebanyak RM40,000 mengikut terma polisi yang ditetapkan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Pendaftar UniSZA serta Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan