KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Yayasan Islam Terengganu (YIT) melakar sejarah apabila julung kalinya meraikan 45 pelatih Sijil Asas Pengajian Islam dan Dakwah pada Majlis Apresiasi Pusat Dakwah Ummah (PADU) Tahun 2026.
Pengarah YIT, Dato’ Hadi Hassan berkata, majlis apresiasi tersebut kali pertama diadakan sejak penubuhan PADU di Pulau Redang pada tahun 2020.

“Pihak YIT akan terus berusaha mencari idea dan mengembleng tenaga untuk memaksimakan kewujudan PADU agar manfaat dan penubuhannya terus tersebar kepada komuniti setempat secara khusus dan kepada seluruh masyarakat secara amnya.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pelatih. Jadikan majlis ini sebagai titik permulaan untuk anda terus melangkah lebih jauh sebagai duta penyampai mesej Islam yang berhikmah, berakhlak mulia dan berjiwa besar,” ujarnya.

Menurut Hadi, ilmu yang dipelajari pelatih di PADU adalah bekalan terbaik untuk disumbangkan kepada masyarakat dan ummah.
“Kalau dulu waktu di Pulau Redang pelatih semua telah dilatih mengimarahkan masjid, berbakti khidmat kifayah dengan memenuhi undangan solat jenazah, solat hajat, doa selamat dan sebagainya, teruskan perkara tersebut kerana ini juga merupakan bentuk dakwah yang boleh diterapkan dan diamalkan secara konsisten,” ujarnya.

“Dengan adanya PADU, anak-anak Pulau Redang dapat menyertai program Kem Anak Soleh dan lain-lain program yang dianjurkan PADU yang mana para pelatih diberi tanggungjawab sebagai fasilitator.
“Ini bermakna, bukan sahaja para pelatih memperoleh manfaat, malah anak-anak juga turut menerima impak positif daripada usaha yang dilaksanakan,” ujarnya.
Tag :