Berita :
YPU, Shopee Perkasa Usahawan Terengganu Teroka Ekonomi Digital
YPU, Shopee Perkasa Usahawan Terengganu Teroka Ekonomi Digital
Noraini Jusoh
17 jam yang lepas
201

KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memberi sokongan penuh terhadap penganjuran program Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti Roadshow Terengganu sebagai usaha memperkasa pembangunan komuniti serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu membuka ruang kepada usahawan tempatan dan orang ramai untuk memahami dengan lebih dekat dunia perniagaan digital, selain memanfaatkan platform e-dagang bagi menjana pendapatan.

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar memberi pendedahan asas, malah menyediakan bimbingan secara langsung kepada peserta untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital yang semakin pantas.

“Program hari ini menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk sesi Shopee Xpert yang memberi pendedahan berkaitan tips dan teknik pemasaran dalam talian.

“Ia bertujuan membantu peserta meningkatkan jualan serta memperkukuh jenama mereka di platform digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Program Shopee Rai Lokal Jelajah Komuniti Roadshow Terengganu di Dewan Konvensyen YPU, di sini, semalam.

Ariffin berkata, peserta turut diberi peluang mempelajari kaedah menjana pendapatan melalui program affiliate Shopee dengan memanfaatkan kandungan digital dan media sosial sebagai medium pemasaran.

Katanya, pendekatan itu amat penting terutama kepada golongan belia, usahawan kecil dan PKS yang mahu mengembangkan perniagaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah jualan tradisional.

Tambah beliau, jelajah komuniti itu turut memberi pendedahan praktikal berhubung cara memulakan dan mengembangkan kedai dalam talian.

“Malah, peserta turut didedahkan dengan pelbagai ciri, alatan Shopee serta kempen yang boleh dimanfaatkan bagi membantu meningkatkan jualan,” ujarnya.

Program itu dilihat sebagai antara langkah strategik bagi menggalakkan lebih ramai usahawan Terengganu meneroka potensi ekonomi digital sekali gus memperluas capaian produk tempatan ke pasaran lebih besar.




Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan