• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Individu Bergejala Disaran Pakai Pelitup Muka Di Masjid, Surau

KUALA TERENGGANU, 20 Mac – Individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta Individu yang berisiko tinggi digalakkan memakai pelitup muka di Masjid dan Surau di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, menjunjung titah perintah dan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Ketua Agama Islam Negeri Terengganu.

Katanya, selaras dengan ketetapan terkini kerajaan berkaitan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19.

“MAIDAM melalui Kenyataan Media pada 15 Mei 2020 yang lalu telah menetapkan bahawa pemakaian pelitup muka di masjid dan surau dalam negeri Terengganu adalah diwajibkan dan arahan tersebut masih berkuat kuasa sehingga ke hari ini.

“Walau bagaimanapun, melihat kepada perkembangan semasa kes positif Covid-19 di Negeri ini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang menunjukkan kadar kemasukan pesakit kes Covid-19 ke hospital dan penggunaan wad rawatan rapi (ICU) yang rendah dan semakin berkurangan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas perkembangan semasa yang semakin baik,” katanya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambah Shaikh Harun, selaras dengan perkembangan semasa dan juga dengan Kenyataan Media Menteri Kesihatan Malaysia pada 7 September 2022 berkaitan Semakan Semula Keperluan Pemakaian Pelitup Muka MAIDAM.

Beliau berkata, selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu.

"Dengan ini mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju menetapkan bahawa semua para jemaah masjid dan surau diberi pilihan untuk memakai pelitup muka," jelasnya.

Walau bagaimanapun, kepada individu yang bergejala dan yang berisiko tinggi pemakaian pelitup muka amat digalakkan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan menyeru supaya rakyat jelata agar terus menjaga dan meningkatkan kebersihan diri dan juga keluarga lebih-lebih lagi dengan ketibaan Ramadan Al-mubarak nanti.

“Baginda mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat dan berdoa semoga semua rakyat jelata sentiasa berada di dalam kerahmatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala.

“Arahan ini berkuat kuasa mulai 1 Ramadhan 1444H bersamaan 23 Mac 2023M,” ujarnya.

 

 

 

 

 


Tag: