Royalti Petroleum : Kerajaan Perpaduan Lebih Teruk Daripada Kerajaan PH
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) meminta semua yang bergerak masuk ke Terengganu khususnya dari zon merah untuk menghubungi pihak berkaitan bagi penilaian risiko Covid-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia susulan kebenaran rentas daerah dan negeri yang bermula 7 Disember lepas.
Katanya, sebagai langkah kawalan, mereka ini diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) atau Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah dan menyediakan borang deklarasi yang perlu dilengkapkan.
"Sejak 7 Disember kami mengesan ramai juga kontak rapat kepada kes positif atau kluster dari luar Terengganu. Juga kes positif dikesan yang bergerak masuk ke Terengganu.
"Kita menjangkakan peningkatan kes ekoran kebenaran ini dan negeri bersebelahan Terengganu juga menunjukkan peningkatan kes dan situasi ini merisaukan kita.
"Jadi kita mesti ambil langkah berjaga-jaga untuk 'protect' Terengganu yang situasi Covid 19 masih terkawal. Jika tidak, ini bakal mengundang kluster baharu di Terengganu," ujarnya kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook miliknya hari ini.
Tambahnya, ada yang masuk dari zon merah tetapi terus ke Klinik Kesihatan untuk membuat saringan tanpa singgah di mana-mana perhentian.
"Mereka dikesan positif dan terus dimasukkan ke Hospital. Sikap begini sangat baik dan patut dipuji kerana ia membantu mengelakkan penularan dalam komuniti dan patut dicontohi oleh pengembara lain,"ujarnya lagi.