• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Orang awam diingatkan supaya tidak berkumpul di kawasan-kawasan berisiko sepanjang musim banjir ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, tindakan tersebut dikhuatiri membahayakan diri dan keluarga mereka.

"Dengan cuaca hujan renyai hari ini, ada diantara orang awam dan komuniti keluar ke bandar serta ke kawasan pinggir pantai untuk menyaksikan keadaan ombak dan sebagainya.

"Kita nasihatkan supaya jauhkan daripada berada di kawasan berisiko sebab kita tahu agensi-agensi penyelamat dalam proses bertungkus lumus memindahkan mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri Terengganu, ini bukan masanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan keadaan semasa sungai Terengganu di Pesisir Payang bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), malam ini.

Jelasnya, masyarakat terutamanya di Pantai Seberang Takir dan pinggir sungai ditegah mengabaikan aspek keselamatan mereka.

"Itu agak berbahaya, jadi jangan sewenang-wenangnya bersiar-siar dan pergi melihat," katanya.

Che Adam turut memaklumkan jangkaan semasa daripada agensi keselamatan berkaitan situasi banjir.

"Kita jangkakan akan ada komposisi hujan yang agak lebat di kawasan pedalaman kerana di kawasan pantai keadaan telah reda.

"Di kawasan hulu Terengganu, ada kebarangkalian kita bakal membuka lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melihat kepada rujukan berkaitan paras sungai di sana," katanya.