• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Laksana Inisiatif 'Non Partisan' Elak Rakyat Merana - MB

KUALA NERUS, 14 Mei – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan agar inisiatif ‘non-partisan’ dengan tidak menyebelahi mana-mana parti politik diperkenalkan bagi mengelakkan golongan itu menjadi mangsa.

Ahmad Samsuri berkata, inisiatif non-partisan dan bi-partisan penting dalam keadaan tertentu dan ia diamalkan di negara maju, ketika mereka berdepan dengan suasana getir.

Katanya, sebilangan besar rakyat tidak menjadi ahli atau tidak terlibat pun dengan mana-mana parti politik yang berdaftar dalam negara kita.

“Sedangkan mereka juga adalah rakyat pembayar cukai yang turut sama menyumbang, kepada peningkatan sosio-ekonomi, pembangunan manusia dan fizikal, bahkan kesejahteraan hidup dalam negara kita ini.

“Bahkan, jika kita ahli-ahli politik tidak berubah menjadi matang mengikut zaman, rakyat akan meremehkan peranan politik dalam memimpin mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli-Ahli Jemaah Menteri dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri.

Tambah Ahmad Samsuri, sekiranya berlaku kecapikan dalam hubungan antara sesama manusia pun, masyarakatlah yang merana.

“Apatah lagi hubungan antara kerajaan dengan kerajaan, yang sudah pasti akan mewujudkan suasana bingar, dan rakyatlah yang akan menanggung akibat dan sengsaranya.

“Rakyat di luar sana mengeluh dan mendengus, kerana keperluan serta kemahuan mereka adalah jelas iaitu mahukan penyelesaian kepada masalah kehidupan mereka,” ujarnya.

 

 

 


Tag: